EMPAT pemenang pingat dari Terengganu yang mewakili negara pada Sukan Asia Hangzhou, China menerima Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) dan Skim Wakil Negara (SWARA), hari ini.

Atlet gimnastik, Muhammad Sharul Aimy Mohd. Kamaru Hisam dan atlet pelayaran, Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen, muncul penerima terbanyak dengan insentif keseluruhan RM6,500.

Mereka menerima SHAKE berjumlah RM5,000 selepas meraih pingat gangsa acara gimnastik ‘vault’ dan windsurfing RSX wanita selain RM1,500 di bawah insentif SWARA.

Dua lagi atlet yang layak adalah Mohamad Syafiq Md. Ariffin dari acara memanah compound berpasukan dan atlet 4×100 meter wanita, Azreen Nabila Alias yang turut memenangi pingat gangsa.

Menurut EXCO Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, seramai 17 atlet dari Terengganu dalam lapan jenis sukan telah terpilih mewakili negara ke temasya itu.

Menurut beliau, kesemua mereka yang gagal memenangi kilauan pingat di Sukan Asia 2023 tetap layak menerima ganjaran RM1,500 setiap seorang di bawah skim Swara.

“Secara keseluruhan sejumlah RM28,500 insentif SWARA dan RM16,000 (SHAKE) diserahkan kepada atlet yang membantu kontinjen Malaysia beraksi pada temasya berprestij itu.

“Melalui insentif Shake pula, setiap pemenang pingat gangsa bagi acara individu akan menerima RM5,000 manakala RM3,000 untuk acara berpasukan.

“Diharap ganjaran ini menaikkan semangat atlet untuk meningkatkan prestasi dan terus menyarung jersi negara di pentas tertinggi,” katanya selepas menyampaikan insentif kepada FLASH SUKAN.

Sementara itu, Tengku Nurani Ezaty ketika ditemui berkata, pencapaian pingat gangsa Sukan Asia menjadi suntikan semangat menjelang kejohanan kebangsaan di Selangor, bulan depan.

Atlet berusia 19 tahun itu bagaimanapun mengakui tekanan pasti akan dirasai selepas bergelar pemenang pingat di pentas Asia selain cabaran yang bakal dihadapi peserta lain di kejohanan kebangsaan.

“Memang tidak sangka dapat menang pingat gangsa dalam penyertaan sulung di Sukan Asia namun hasil sokongan ahli keluarga dan rakan-sepasukan, saya optimis dapat kekal dengan rentak cemerlang,” ujarnya.