SELEPAS mencapai satu cita-cita, kejayaan demi kejayaan terus diharapkan kepada gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, termasuklah daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
Menurutnya, susulan memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama di Terbuka Denmark, Aaron-Wooi Yik kelihatan berbeza berbanding ketika memegang status juara dunia tahun lalu.
“Ya mereka nampak lebih bersemangat kali ini, kemenangan itu memberikan keyakinan kepada Aaron dan Wooi Yik,” kata Rexy yang mengiringi pemain ke Eropah.
Menurutnya, Aaron-Wooi Yik yang beraksi di Terbuka Perancis minggu ini, disandarkan harapan untuk mencipta satu lagi kejayaan.
“Saya harap mereka dapat lakukan back to back,” ringkas jawab Rexy ketika ditanya mengenai sasaran penyertaan gandingan lelaki utama negara itu di Perancis.
Petang ini, Aaron-Wooi Yik akan membuka pentas saingan di Glaz Arena, menentang gandingan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin di pusingan pertama.
Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik memiliki kelebihan dengan enam kemengan daripada lapan pertemuan.
Kejuaraan Terbuka Denmark Ahad lalu juga, pasti menjadi penyuntik semangat buat Aaron-Wooi Yik yang kini melonjak ke ranking ketiga dunia, memintas gandingan utama Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.