SELEPAS bermula langkah sumbang dengan kalah dalam dua aksi pembukaan Kumpulan G Piala AFC 2023, ketua jurulatih Stallion Laguna, Ernest Nierras mahu para pemain bangkit mencari kemenangan sulung apabila berdepan satu lagi pasukan ‘liat’, Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Khamis.
Barisan kendaliannya diaibkan 1-9 Central Coast Mariners dalam pertembungan kedua kumpulan serta tumpas 2-5 kepada kelab Bali United semasa aksi pembukaan.
“Kami masih mencari kemenangan pertama dan saya secara peribadi gembira kerana kami telah menjaringkan gol.
“Mungkin bolos terlalu banyak, tetapi kami juga mampu menjaringkan gol, itu yang penting.
“Saya rasa realistik. Kita mampu dan boleh menjaringkan gol menentang pasukan besar,” katanya akui pernah tinggal di Pulau Pinang selama lima tahun.
Dia yang juga penolong skuad kebangsaan Filipina menjelaskan para pemain agak kepenatan selepas menempuh perjalanan jauh daripada Kuala Lumpur ke Kuala Nerus sebaik tiba dari Filipina kelmarin.
Nierras turut berkongsi mengenali dan mempunyai pemain Terengganu, Jordan Mintah yang pada mulanya beraksi di posisi pertahanan.
“Anda tidak tahu pun posisi pertamanya. Saya jadikan dia penyerang semasa di Stallion Laguna. Saya bangga apabila melihat pemain saya boleh keluar untuk bermain di luar negara,” katanya.
Sementara itu, menurut kapten pasukan Matthew Nierras yang merupakan anak kepada pengendali kelab itu kagum prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan Terengganu apabila berjaya membenam pasukan gergasi seperti Central Coast Mariners.
“Selepas aksi kami bertemu Bali United, saya menonton aksi antara Terengganu dan Central Coast Mariners dan berasa cukup kagum apabila juara dari Australia itu tewas dan saya berkata bahawa mereka adalah pasukan yang hebat dan mampu berada di puncak kumpulan,” katanya.