RENTAK kemenangan Sabah FC di Piala AFC tersekat apabila dikejutkan tuan rumah, Haiphong FC 3-2 dalam aksi ketiga di Stadium Lach Tray, Haiphong, Vietnam.

Seperti nasib yang menimpa Johor Darul Ta’zim di Ulsan, Sabah juga dihukum dalam 20 minit pertama perlawanan selepas ketinggalan 2-0 walaupun dilihat menguasai permainan pada permulaan aksi dengan percubaan menerusi Dominic Tan.

Jaringan Nguyen Huu Son pada minit ke-14 dan dua gol dari Dam Thein Dung pada setiap babak sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat Haiphong sekaligus menebus kekalahan keatas Hougang United pada perlawanan kedua sebelum ini.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee cuba bangkit pada babak kedua dengan dua jaringan namun tidak mampu untuk mencari gol penyamaan untuk kekalahan pertama musim ini di Piala AFC dan pulang ke Kota Kinabalu dengan tangan kosong.

Ramon Machado membuka akaun jaringannya dalam kejohanan Asia apabila menanduk masuk hantaran Saddil Ramdhani pada minit ke-71 untuk memulakan kebangkitan Sabah selepas ketinggalan dua gol.

Namun jaringan itu hanya bertahan seminit apabila Haiphong kembali semula dengan kelebihan dua gol selepas pertahanan Sabah gagal mengekalkan konsentrasi sebelum Gary Steven Robart meledak rembatan umpama peluru untuk gol kedua Sabah yang menaikkan semangat mereka memburu gol penyamaan.

Skuad Badak tidak berjaya mencari gol tambahan dan terpaksa menerima kekalahan sekaligus turun ke tangga kedua Kumpulan H berkongsi enam mata dengan Haiphong FC namun dibezakan rekod ‘head to head’ kedua-dua pasukan.