BUKAN mudah menjadi bapa kepada seorang pemain bola sepak professional terutama ketika di peringkat awal penglibatan dari zaman kanak-kanak ianya memerlukan masa dan wang untuk memastikan mereka mampu menjadikan bola sepak sebagai kerjaya.
Perjalanan FLASH SUKAN ke Ulsan untuk membuat liputan perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Ulsan Hyundai menemukan kami dengan Lawrence Corbin, bapa kepada pertahanan JDT dan kebangsaan, Le’Vere Corbin Ong.
Tambah menarik, meskipun mempunyai anak yang bermain bola sepak secara profesional bersama kelab terkaya di Malaysia, Lawrence tidak betah untuk ke Ulsan bersama-sama rombongan Boys of Straits dan tidak mengharapkan layanan VIP meskipun dia boleh berbuat demikian.
Ketika bertukar-tukar pandangan semasa menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae, Busan, Lawrence berkongsi cerita yang dia tidak pernah ketinggalan walau satu perlawanan pun apabila ianya melibatkan anak tunggalnya, Corbin Ong.
“Saya tidak pernah ‘missed’ perlawanan anak saya. Sejak kecil lagi ketika dia mula menunjukkan minat bermain bola sepak, saya sentiasa berada bersamanya tidak kira waktu, cuaca dan tempat kerana jiwa saya adalah bola sepak.
“Atas sebab jiwa bola sepak inilah, saya lebih suka melakukan perjalanan dengan para penyokong terutama Boys of Straits kerana saya sendiri adalah penyokong dan tidak mengharapkan layanan kelas pertama,” katanya yang masih kelihatan bertenaga meskipun sudah berusia 76 tahun.
Lawrence turut menyatakan sejurus tiba dari Busan, dia akan kembali sebentar ke Johor Bahru sebelum meneruskan perjalanan bersama para penyokong ke Kota Bharu untuk bersama-sama di belakang Harimau Selatan ketika menentang Kelantan United pada Sabtu.
“Saya bangga dengan persembahan Corbin walaupun kalah di Ulsan dan saya sudah lupakan kekalahan itu kerana apa yang bermain di fikiran saya kini adalah ingin ke Kota Bharu untuk perlawanan seterusnya,” jelasnya yang dilahirkan di Barbados pada tahun 1947.
Corbin Ong pula ketika ditemui mengakui bapanya suka mengikuti pergerakan penyokong ke stadium walaupun dia sendiri ingin membelikan tiket penerbangan namun ditegah bapanya yang lebih sukakan cabaran kerana mempunyai jiwa bola sepak yang menebal.
Komrad Boys of Straits juga selesa dengan kehadiran Lawrence yang sudah dianggap sebagai sebahagian daripada Keluarga JDT dan mereka sering saling bantu membantu apabila ada masalah yang melanda ketika di dalam perjalanan.