PERAK FC memperkenalkan logo baharu menjelang bersambungnya saingan Liga Premier musim ini menerusi laman media sosial milik kelab berkenaan, pada Isnin.
Menerusi satu klip video berdurasi 14 saat yang dimuat naik di akaun Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube kelab tersebut, logo baru Perak FC kali ini bertemakan Rise As One diperkenalkan.
Logo yang menampilkan tiga warna tradisi utama iaitu putih, kuning dan hitam itu disertakan tulisan Perak Football Club, juga karikatur seakan seladang yang menjadi maskot pasukan berkenaan.
Untuk rekod Perak FC pernah menggunakan empat logo sebelum ini dalam saingan Liga Malaysia,malah pada tahun lalu diadakan pertandingan mencipta logo Perak FC bagi musim 2021 selepas logo sedia ada mendapat kritikan daripada peminat.
Dalam pada itu, pengenalan logo baharu tersebut mendapat maklum balas positif dari peminat yang meninggalkan komen pada ruangan hantaran memuatkan video berkenaan.
“Logo rasmi Perak FC. Tunggu apa lagi yob!!! Era Baru Semangat Baru.
“Jommm penuhkan stadium keramat kita,” tulis hantaran pentadbir itu di Facebook Perak FC.
Pada 31 Mei lepas, XOX Pro Sport Sdn Bhd, anak syarikat XOX Berhad mengumumkan pelantikan Bobie Farid Shamsudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Kelab Bola Sepak Perak berkuatkuasa serta merta.
Pelantikan ini akan menyokong perjuangan Perak FC untuk keluar dari zon penyingkiran dalam musim Liga Premier yang berbaki sembilan perlawanan.