SUASANA sendu dan lengang menyelubungi perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin biarpun venue itu akan menyaksikan pertembungan aksi ketiga Kumpulan G Piala AFC 2023 antara tuan rumah Terengganu FC dan Stallion Laguna FC petang ini.

Situasi itu nyata berbeza dengan bahang saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia ketika penyokong Terengganu bertandang ke Cheras di mana ribuan penyokong bersorak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hanya lima hari lepas.

Berdasarkan tinjauan FLASH SUKAN, didapati kehangatan aksi pertandingan peringkat Asia itu bagaikan tidak dirasai malah kehadiran penyokong skuad Peteh juga boleh dikira sekali gus menandakan tahap sokongan yang kurang daripada penyokong tuan rumah.

Penjualan tiket secara online juga antara faktor tiada kelibat para penyokong yang datang membawa anak serta keluarga, bagi menambahkan lagi rencah suasana persekitaran.

Namun seperti sedia maklum, pertandingan yang sepatutnya berlangsung jam 8 malam telah dianjakkan awal empat jam berikutan bagi mematuhi peraturan negeri Terengganu yang tidak membenarkan sebarang penganjuran aktiviti hiburan secara rasmi pada malam Jumaat.

Tambahan pula, perlawanan berkenaan diadakan pada hari bekerja dan menonton bola sepak di bawah cuaca terik membahang besar kemungkinan gagal menarik kehadiran jumlah penyokong yang ramai ke stadium.

Begitupun, Ultras Tranung menggesa penyokong pasukan itu tetap keluar awal bagi mengelak kesulitan dan membawa bersama cermin mata hitam dan mafla.

“Susun elok-elok temujanji kita (esok) hari ini. Pukul 2.30 petang kalau boleh keluar dari rumah. Cuaca dijangka panas.

“Kita akhiri dengan peluh rejak dengan kemenangan !!,” katanya.