GEMENTAR, kesilapan dalam melakukan hantaran dan kerap membuat keputusan salah punca dua gol gawang Terengganu FC bolos di babak pertama sebelum bangkit mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Stallion Laguna FC.
Ketua Jurulatih Skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner mengakui ramai penyokong yang menagih kemenangan di pentas Asia itu terutamanya bermain di laman sendiri.
“Semua orang mengharapkan untuk menang hari ini. Kami mencipta banyak situasi.
“Tetapi kami kelihatan tidak begitu baik dari awal selepas kesilapan pertama penjaga gol, Suhaimi Husin. Selepas itu, sedikit gementar.
“Kami bermain penuh cabaran dengan hantaran yang perlahan tanpa pergerakan yang cukup.
“Sudah tentu, saya tidak boleh berpuas hati dengan itu, hanya satu mata sahaja. Ini perlawanan buruk untuk pasukan saya,” katanya dalam sidang selepas perlawanan Gong Badak pada Khamis.
Jelas pengendali asal Croatia itu, dirinya kurang berpuas hati melihat persembahan pasukan kerana menilai barisan Terengganu mempunyai deretan peluang yang cukup untuk meraih kemenangan.
“Anda tahu, kami kelihatan letih beraksi dalam cuaca panas. Kami bermula jam 4, sesi pemanasan badan jam 3 petang.
“Tapi ini bukan alasan,” katanya memberi fokus menjelang perlawanan seterusnya bagi aksi Liga Super bertemu Sri Pahang FC pada Ahad.
Sementara itu, pemain tengahnya, Sonny Norde menilai mereka tidak bermain bola sepak terutamanya pada babak pertama.
“Pada babak pertama, kami tidak bermain bola sepak dan bermain lebih teruk dari mereka serta membenarkan lawan lakukan apa sahaja.
“Kami tahu cuaca tidak berpihak pada kami namun mereka juga bermain dalam keadaan cuaca yang sama.
“Mereka menjaringkan dua gol dan menyukarkan kami untuk bangkit dan apabila kami bangkit ianya terlalu lewat,” jelasnya.
Jaringan penyamaan Adisak Kraisorn pada penghujung masa kecederaan menyelamatkan maruah Terengganu daripada mengalami kekalahan pertama kepada kelab dari Filipina itu.
Terengganu kini kekal di tangga kedua Kumpulan G dengan mengutip lima mata selepas mengharungi tiga perlawanan.