ULTRAS Tranung melontarkan peringatan mesra kepada skuad Penyu selepas beraksi hambar dan seri 2-2 berdepan kelab lemah Kumpulan G Piala AFC 2023, Stallion Laguna FC petang Khamis.

Dalam perlawanan berlangsung dalam cuaca panas di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, tampak bagaikan ada yang tak kena sehinggalah bolos awal oleh jaringan pelawat pada minit ke-6.

Ramai penyokong Terengganu FC yakin anak buah Tomislav Steinbruckner mampu meraih kemenangan mudah apatah lagi kelab dari Filipina itu dibelasah 9-1 dengan juara liga Australia, Central Coast Mariners pada perlawanan terdahulu.

“Pedih dada jangan kiralah. Apa yang berlaku tak tahu. Peluang kita cerah nak melangkah jauh ni. Kalau tidak ambil peluang rugilah.

“Terus fokus perlawanan seterusnya. Buktikan kepada kami lebih bertenaga dan ‘bergulai’ di tempat orang. Kami akan bersama anda di Manila,” menurut kenyataan Ultras Tranung.

Dua minggu lagi, Terengganu akan bertandang ke Filipina untuk pusingan kedua peringkat kumpulan dan sejujurnya tiga mata wajib disambar jika ingin terus mengibarkan cabaran lebih jauh di pentas Asia.

Sokongan Ultras Tranung dan penyokong Peteh yang lain cukup membanggakan dan mereka sentiasa hadir ke mana-mana sahaja termasuklah ke venue pasukan lawan serta di luar negara.

Justeru itu, para pemain Terengganu diingatkan bermain sepenuh jiwa demi pengorbanan peminat yang tidak lokek mengeluarkan wang ringgit, masa dan tenaga hanya semata-mata mendukung pasukan kesayangan.