PEMAIN boling remaja lelaki kebangsaan, Mohd Hariz Adlan Azman cemerlang di Kejohanan Boling Antara Negeri 2023, apabila membantu Pulau Pinang memenangi acara double’s lelaki.

Walaupun baru berusia 20 tahun, pelapis senior kebangsaan itu mempamerkan aksi cemerlang dalam kategori terbuka lelaki apabila mengumpul 1,345 jatuhan pin daripada enam permainan, ketika bergandingan dengan Megat Zaqrul Haiqal.

Megat melakukan 1,155 jatuhan sekali gus membolehkan double’s lelaki Pulau Pinang mengumpul 2,500 jatuhan dan muncul juara.

Tempat kedua acara itu dimenangi pasangan Kuala Lumpur, Hafiz Zainuddin-Syafiq Ridhwan dengan keseluruhan 2,497 jatuhan pin, manakala ketiga Sarawak yang membariskan Abang Afiq Yazid Abang Azman-Chong Jun Foo dengan 2,481 jatuhan pin.

Hariz mendahului senarai All Events Lelaki di Kejohanan Bolwing Antara Negeri 2023.

“Beraksi di dua blok dan dua permukaan minyak berbeza memang mencabar, tapi saya lebih selesa bermain di long oil seperti pada blok pertama, yang sentiasa saya jangkakan akan mendapat keputusan lebih baik berbanding medium,” kata Hariz.

Hariz yang juga penuntut jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), ketika ini berada di posisi terbaik untuk layak ke acara Masters Lelaki Terbuka, selepas memimpin kedudukan pendahulu All-Event’s Lelaki selepas blok pertama permainan.

Pada Kejohanan Antara Negeri tahun lalu, Hariz dan Megat menjuarai acara double’s remaja lelaki, bezanya mereka memenangi acara terbuka pula pada edisi kali ini.