PENGENDALI Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris mengakui dia sudah menerima tawaran lanjutan kontrak untuk terus mengendalikan pasukan musim depan selepas membawa mereka menjadi juara Liga MBSB Bank Championship musim ini.

Namun begitu, dia juga mendedahkan dia tidak boleh menjadi jurulatih sekiranya pasukan itu memilih untuk bertanding di Liga Super kerana tidak mempunyai lesen Pro-A yang diperlukan setiap jurulatih di Liga Super.

“Mereka dah tawarkan saya untuk jadi jurulatih musim depan tetapi saya tidak boleh membawa pasukan sekiranya pasukan memilih ke Liga Super. Saya hanya mempunyai lesen A sahaja dan bukan lesen Pro A yang diperlukan dan saya mungkin akan memilih pasukan lain,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Trofi Liga MBSB Bank Championship.

 

Sementara itu Pengurus Pasukan Imigresen FC, Iqmal Haqimie Abdullah ketika ditemui di majlis yang sama turut mengakui pihak kelab perlu menunggu keputusan daripada pihak pengurusan atasan sama ada akan menyertai Liga Super untuk musim hadapan.

“Kita sedang bersiap sedia untuk mematuhi peraturan perlesenan yang ditetapkan MFL sementara kami menunggu mandat YB KDN dan KSU untuk kita turut serta dalam Liga Super musim hadapan.

“Para pemain sudah diberitahu bahawa mereka bebas untuk memilih mana-mana pasukan sekiranya mendapat tawaran kerana kami rasa bangga dan kelab tidak ada masalah kerana ianya melibatkan masa depan setiap pemain,” katanya.

Imigresen FC muncul juara Liga MBSB Bank Championship musim ini secara dramatik apabila memintas pendahulu, Kuala Lumpur Rovers pada perlawanan terakhir dan kejayaan itu diraikan di sebuah majlis oleh Amateur Football League (AFL) dengan Imigresen FC membawa pulang wang kemenangan bernilai RM100,000.