PDRM FC membawa rentak cemerlang mereka dalam Challenge Cup ke Liga Super apabila membenam cabaran Kuala Lumpur City FC, 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Dua gol menerusi Marcus Macaulay dan Fadi Mahmoud sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat skuad bimbingan Datuk Yunus Alif sekali gus memungut mata ke-31 selepas berakhir 22 perlawanan.

Kedua-dua pasukan yang terkenal dengan cara permainan bertahan menyaksikan aksi yang seimbang dengan hanya beberapa percubaan dilancarkan namun dapat dipatahkan kecemerlangan penjaga gol untuk kedudukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Skuad Sang Saka Biru menambah tekanan pada babak kedua untuk mencari gol dan satu serangan balas pada minit ke-60 apabila Marcus Macaulay berjaya memecah kebuntuan untuk gol pertama PDRM FC.

Gol itu boleh dianggap sebagai hadiah sempena hari lahirnya yang ke-32 dan dia bersyukur kerana jaringannya itu berjaya menghadiahkan kemenangan buat skuad Sang Saka Biru.

KL City cuba bangkit dari ketinggalan namun hasil satu lagi serangan balas, PDRM menggandakan kelebihan kali ini menerusi jaringan Fadi Mahmoud yang mudah menewaskan Kevin Ray Mendoza yang sudah tertewas.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan PDRM kini berada pada prestasi terbaik untuk melengkapkan musim gemilang sebagai salah satu pasukan ‘underdog’ terbaik musim ini manakala KL City perlu mencari solusi sebelum mengakhiri baki perlawanan.