KETUA Jurulatih PDRM FC, Datuk Yunus Alif memuji karakter pemainnya yang berjaya mengikut arahan taktikal terutama pada babak kedua untuk memastikan skuad Sang Saka Biru berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-0 dalam aksi Liga Super pada Jumaat.
Dalam saingan di Stadium MBPJ Kelana Jaya itu, The Cops berjaya mencatatkan kemenangan kesembilan musim ini menerusi jaringan Marcus Macaulay dan Fadi Mahmoud sekali gus menyamai kutipan 31 mata KL City dalam carta liga.
“Syukur kerana kalau kita tumpu pada babak pertama, ianya bukan arahan jurulatih dan separuh masa kedua kami bangkit selain kecekapan penjaga gol kami yang membantu pasukan.
Separuh masa kedua kami arahkan pemain supaya lebih menyerang dan mereka dapat terjemahkannya dalam padang dengan dapat lakukan ‘counter attack‘ dan dapat menang bola kembali serta gunakan ruang yang ada untuk memerangkap mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Yunus juga mengakui fokus pasukannya kini lebih terarah kepada aksi kedua Challenge Cup di mana PDRM FC semakin menghampiri peringkat akhir namun dia tidak mahu memikirkan tentang kejuaraan kerana masih terlalu awal.
“Kita akan teruskan dan fokus pada Challenge Cup kerana ‘second leg‘ dalam seminggu. Kelebihan satu gol sahaja tidak mencukupi kerana apa-apa boleh berlaku dan tidak mahu pemain leka.
“Mereka harus kerja kuat dan saya tidak boleh pilih siapa lawan tetapi pastikan kami ke akhir. Masih awal untuk fikir angkat piala kerana apa yang penting semangat para pemain untuk mencapai kejayaan,” jelasnya.
PDRM FC adalah pakej paling mengejutkan dalam Liga Malaysia musim ini apabila berada di kelompok pertengahan liga dan kini semakin menghampiri perlawanan akhir Challenge Cup untuk bertemu sama ada Kuching City atau Kelantan United FC.