KELAB Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah (HKC) merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan seluruh kepimpinan pengurusan KDAFC atas penjelasan pada sidang media awal pagi Sabtu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan HKC, mereka menuntut tindakan yang lebih drastik dan segera dari pemilik kelab atas permasalahan yang timbul pada masa sekarang.

“Seperti yang didedahkah oleh pemilik kelab, antara punca kelemahan kewangan kelab adalah kerana kegagalan kelab untuk melaksanakan perancangan promosi, penjenamaan, dana bisnes kendiri dan aktiviti seumpama, maka satu tindakan tegas harus diambil terhadap beberapa pemegang jawatan yang melaksanakan tugasan tersebut.

“Tugasan utama Ketua Pegawai Eksekutif dalam sebuah organisasi bisnes swasta adalah untuk memastikan kelancaran kewangan positif serta imej baik syarikat.

” Manakala, tugasan utama Ketua Pegawai Media adalah untuk memastikan aktiviti penjenamaan serta kemampuan dana diperoleh melalui aktiviti berlandaskan jenama serta keharmonian kelab dengan penyokong dan media,” kata kenyataan itu.

Jelas HKC, berdasarkan kepada sidang media itu, Mohd Daud juga mengakui bahawa usaha menjana pendapatan dalam konteks pemegang saham, penjagaan, hasil penjualan tiket dan cenderahati kurang memberangsangkan, lebih-lebih lagi tanpa sokongan kerajaan negeri mahupun separa kerajaan.

“HKC juga menuntut untuk didedahkan apakah indeks pencapaian utama (KPI) sebenar penjawat jawatan di KDAFC dan apakah ianya telah mencapai sasaran atau jauh tertinggal di belakang?

“Atas asas ini HKC menuntut supaya tindakan tegas diambil selepas mengambil kira punca kegagalan semasa,” katanya lagi.

Tambah HKC, masalah kewangan dan kegagalan penjenamaan telah berlaku sejak beberapa tahun lalu dibawah seliaan individu yang sama.

“Ini adalah asas utama desakan ini dibuat kerana kegagalan ini bukanlah perkara baharu. Penyokong sudah merasa bosan dan muak dihidangkan perkara yang sama saban tahun.

“HKC juga melihat, organisasi kelab tidak bergerak seperti sepatutnya. Semua bebanan kelab diletakkan sepenuhnya kepada Tan Sri selaku pemilik kelab dan ianya pasti akan membebankan kelab.

” Sehingga hari ini, baik HKC atau penyokong, kami tidak pasti apakah model bisnes yang cuba diperbaharui dan dilakukan. Tapi pada hemat HKC, kami merasakan ianya tiada dan sengaja digembar-gemburkan seperti ada,” katanya.

Justeru itu, HKC menuntut janji dan komitmen dari pemilik KDA FC yang berhasrat supaya sesi bertemu penyokong diadakan secara berkala.

“Dua surat kami pada Ogos 2022 dan Februari 2023 masih di pandang sepi oleh Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar,” katanya.