KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin secara rasmi memasuki pejabat kelab itu di Ipoh, pada Selasa.
Dalam sesi bersama peminat, banyak perkara dikongsikan termasuk hala tuju Perak FC dan melakukan ‘pembersihan’ dalam kelab.
“Banyak kerja rumah perlu saya buat dalam memastikan kelab penuh sejarah ini boleh berkembang maju semula ke kancah elit.
“Bayangkan dalam 100 tahun penubuhan kelab, Perak FC duduk tangga terbawah Liga Premier dan kita berazam nak naik semula ke atas.
“Kepada peminat, saya merayu anda hadirlah bagi sokongan kepada pemain di stadium,” katanya menerusi Live Facebook Seladang Fan Club sebentar tadi.
Hadir sama, Pengerusi XOX Berhad, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.
Menurut Farid, yang juga CEO One XOX Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat XOX, syarikat telekomunikasi telah membuat penilaian dan pertimbangan berdasarkan pelbagai faktor sebelum bersependapat membuat keputusan untuk mengambilalih Perak FC.
“(Antaranya) potensi Perak FC merupakan sebuah pasukan yang mempunyai fan base yang besar di Malaysia,” katanya.
The Bos Gaurus kini berada pada kedudukan tercorot tanpa sebarang mata dan masih lagi berdepan hukuman pemotongan baki tiga mata oleh First Instance Body (FIB).