SKUAD hoki lima sebelah negara berjaya membawa pulang pengalaman berharga dari aksi mereka di kejohanan sulung FIH Hockey 5s di Lausanne, Switzerland.
Skuad negara berjaya mencatat satu lagi keputusan seri dalam perlawanan terakhir namun tidak mampu untuk mengelakkan dari mengakhiri pertandingan di tangga terakhir dari lima pasukan yang mengambil bahagian.
Pada perlawanan terakhir itu, Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Pakistan 5-5 menerusi dua jaringan masing-masing oleh Noor Firdaus Rosdi dan Akhimullah Anuar Esook serta satu jaringan Nabil Fiqri Noor.
Malaysia mengakhiri kempen dengan dua mata selepas turut seri dalam aksi pembukaan menentang Switzerland 4-4 sebelum tewas dua perlawanan berikutnya kepada Poland 5-0 dan India 7-3.
India muncul juara selepas menewaskan Poland 6-5 dalam final selepas bangkit dari ketinggalan tiga gol untuk menamatkan kempen dengan rekod tanpa kalah dari empat perlawanan.
Mula diperkenalkan pada 2014, Hoki 5 Sebelah adalah format yang lebih pendek berbanding hoki konvensional dan berlangsung dalam keadaan yang sangat pantas serta boleh dimainkan di pelbagai jenis permukaan.