PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad gembira dengan kebangkitan yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika mengikat Terengganu FC 2-2 walaupun bergelut terutama pada babak pertama akibat tempoh rehat liga yang terlalu panjang.
Dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu, skuad Tok Gajah bangkit dari ketinggalan 2-0 ketika perlawanan berbaki 20 minit dengan menjaringkan dua gol dalam masa tiga minit untuk terus bersaing dalam kelompok atasan liga.
Rafael Silva dan Sergio Aguero menjaringkan gol cantik yang seakan serupa menewaskan Rahadiazli Rahalim di gawang Terengganu untuk memadam kelebihan skuad Penyu yang mendahului menerusi dua jaringan Omid Nazari pada setiap babak.
KEPUTUSAN MASA PENUH – LS23
Sri Pahang FC bangkit di separuh masa kedua#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/p99WkOpeHv
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 29, 2023
“Masalah apabila terlalu lama tidak bermain kerana pemain perlu ambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan bertemu pasukan yang sering bermain dan agak lambat untuk mereka adaptasi namun beberapa pertukaran berjaya menaikkan semangat pemain terutama pada babak kedua.
“Ini adalah ‘comeback’ yang luar biasa meskipun kita beraksi tanpa empat pemain utama yang tercedera dan digantung perlawanan dan kita berjaya elak kekalahan kerana kita mahu berada di lima tempat terbaik dalam liga,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam sidang media yang sama, ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner pula berpuas hati dengan corak permainan keseluruhan yang ditunjukkan para pemainnya walaupun terpaksa merehatkan beberapa pemain utama akibat penggiliran pemain.
“Pertama sekali saya berpuas hati kerana kami mendominasi pada babak pertama dan selepas dua kosong kami masih bermain bagus namun dua gol jarak jauh dari Sri Pahang mengikat kita namun ianya masih keputusan yang bagus di tempat lawan dengan keadaan kami tidak menurunkan barisan terbaik.
“Ini bukanlah pasukan kedua tetapi kami perlu merehatkan pemain yang sentiasa bermain sejak awal musim kerana kami masih mempunyai perlawanan dalam Piala Malaysia dan Piala AFC jadi kami perlu lakukan penggiliran pemain,” jelasnya.
Sri Pahang akan turun menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super pada 8 November dengan Fandi mengharapkan tiga mata penuh di tempat sendiri untuk memastikan mereka tidak dipintas pasukan di bawah manakala Terengganu pula bakal terbang ke Binan, Filipina untuk menghadapi perlawanan keempat Piala AFC menentang Stallion Laguna.