YUSRI Che Lah memberikan bayangan bahawa tonggak pertahanan, Jesper Nyholm akan kembali memperkuatkan The Bos Gaurus bagi mengharungi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Iskandar Puteri, Khamis ini.

Menurut jurulatih Perak FC itu, Jesper kini dilihat semakin beransur sembuh setelah berehat akibat kecederaan yang dialaminya ketika bertemu Johor Darul Ta’zim di Ipoh.

Malah katanya, pemain kelahiran Sweden yang mewakili skuad kebangsaan Filipina itu juga menunjukkan progress yang baik ketika menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan baru-baru ini.

Yusri juga percaya kehadiran semula pemain pertahanan berusia 29 tahun itu bakal membantu mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Seladang.

May be an image of 1 person and text

“Saya harap kesemua pemain dalam keadaan bersedia walaupun berbaki tiga perlawanan liga dan satu saingan separuh akhir (Piala Malaysia).

“Saya tak menganggap walaupun ketinggalan tiga jaringan dengan pasukan Johor, tetapi ketika aksi bertemu Kelantan tempoh hari, memberikan kami sedikit keyakinan seandainya mereka mengikuti plan asal pasukan kita seperti mana memperolehi kejayaan yang tercipta di Stadium Perak menumpaskan Kelantan,” katanya yang pernah menjulang Piala Malaysia ketika mewakili pasukan Perlis pada tahun 2004.

Sementara itu, Yusri turut menegaskan pihaknya dijangka akan menurunkan pemain tengah, Firdaus Saiyadi pada aksi bertemu Selangor FC di Kelana Jaya 25 November depan.

Ketika ini, skuad Perak berada di kedudukan kesembilan dengan mengutip 22 mata selepas mengharungi 23 perlawanan.