KAPTEN pasukan bola sepak junior Thai, yang diselamatkan dari sebuah gua yang dinaiki air banjir pada 2018, disahkan membunuh diri di sebuah sekolah di Britain pada awal tahun ini.
Duangpetch ‘Dom’ Promthep berusia 17 tahun ketika beliau meninggal dunia pada Februari lalu.
Duangpetch ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik dormitori asramanya pada 12 Feb dan meninggal dunia di hospital dua hari kemudian. Remaja itu merupakan pelajar di Akademi Bola Sepak Kolej Brooke House, Leicestershire.
Media Britain melaporkan pada Jumaat (28 Oktober) bahawa menyusuli siasatan yang dijalankan ke atas kematiannya, Profesor Catherine Mason, koroner kanan bagi bandar Leicester dan selatan Leicestershire, menentukan bahawa ia adalah satu percubaan membunuh diri.
The captain of the Thai boys’ football team trapped in a cave in 2018 has died in the UK. Duangpetch Promthep was 13 years old when he, his teammates, and his coach made headlines around the world after getting stuck in Tham Luang cave in northern Thailand. pic.twitter.com/H4WP07Il6r
— VICE World News (@VICEWorldNews) February 15, 2023
“Encik Promthep tidak diketahui oleh khidmat kesihatan mental, dan tidak diketahui juga sebab mengapa beliau bertindak sedemikian. Ia tidak boleh diramalkan atau dicegah.
“Siasatan polis mendapati terdapat tiada bukti (yang menunjukkan) penglibatan pihak ketiga atau keadaan yang mencurigakan,” jelas koroner kanan itu, seperti dipetik BBC.
Selepas kematiannya di UK, keluarga Duangpetch memohon bantuan agar mayatnya dikembalikan ke Thailand namun atas faktor kewangan, proses pembakaran terpaksa dibuat di Leicester.
Bagaimanapun, abunya kemudian dihantar kepada ibu bapanya di Bangkok pada 4 Mac lalu oleh bekas penyerang dan ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang yang membantu Duangpetch mendapatkan biasiswa untuk belajar di UK.
FLASH SUKAN pada 15 Februari 2023 melaporkan Duangpetch dan pasukan bola sepak Wild Boars mendapat perhatian ramai pada 2018 apabila beliau serta rakan-rakan sepasukannya terperangkap di dalam Gua Tham Luang di Chiang Rai, utara Thailand.
ARTIKEL BERKAITAN : Duangpetch Promthep, bekas kapten Wild Boars diselamatkan dari gua Thailand meninggal dunia di UK
Beribu-ribu sukarelawan, pegawai, penyelam dan pakar dari merata dunia terlibat sama dalam menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Kesemua 23 mereka serta jurulatih berada di bawah tanah selama 17 hari sebelum ditemui sebilangan penyelam warga Britain.