KETUA Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon kini bersedia untuk menghadapi kempen Pusingan Akhri Kelayakan Piala Asia 2023 dan berharap dapat memberikan perlawanan terbaik buat para penyokong Harimau Malaya.
Pan-gon menegaskan bahawa Malaysia akan cuba untuk mendominasi perlawanan dan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan berdasarkan taktikal dan kekuatan pihak lawan.
Jurulatih dari Korea Selatan ini juga masih mengekalkan sasaran tujuh mata yang pernah diletakkan pada Februari lalu bagi memastikan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama.
Malah Pan-gon tidak menganggap masalah kekurangan permainan yang dihadapi Turkmenistan sebagai kelebihan buat pasukan negara, sebaliknya hanya fokus kepada skuad sendiri dan kesemua 23 pemain bebas dari kecederaan yang serius.
“Kami sudah menunggu lama untuk perlawanan ini. Sangat menarik dan kami sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik untuk semua penyokong Malaysia. Kami juga akan cuba untuk mendominasi perlawanan dan pastinya mahu mendapatkan keputusan yang terbaik.
“Kami memilih untuk mengawal perlawanan tanpa mengira pasukan mana pun yang dihadapi. Semuanya bergantung kepada taktikal dan kekuatan pasukan lawan tetapi kami akan menggunakan model yang sama. Kami sudah menganalisa pasukan lawan dan berharap dapat memberikan permainan yang baik esok.
“Tujuh mata masih lagi menjadi sasaran kami untuk layak ke peringkat seterusnya dan kami akan berusaha untuk mencapai sasaran yang telah kami tetapkan sejak undian kumpulan dilakukan pada Februari.
“Apa yang berlaku kepada Turkmenistan mungkin akan memberikan kelebihan buat pasukan kami namun mereka masih mempunyai beberapa kekuatan. Apa yang penting adalah keadaan pasukan kami dan bersedia untuk menghadapi kempen ini,” jelasnya ketika sidang media pra perlawanan pada Selasa.
Pan-gon turut berharap agar para pemain dapat memberikan aksi terbaik dan dapat beraksi dalam keadaan padang yang baik bagi memastikan tiga mata menjadi milik Harimau Malaya.
“Sebagai jurulatih yang mempunyai kesemua pemain terbaik di dalam negara, saya akan pastikan mereka cergas dan memberikan segalanya buat Malaysia pada perlawanan esok.
“Saya juga berharap agar kami dapat bermain dalam keadaan cuaca yang baik, padang yang bagus dan kami akan fokus untuk memberikan aksi yang terbaik,” tambahnya.
Malaysia akan memulakan cabaran Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan esok sebelum bertemu Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dengan juara kumpulan dan lima pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke Piala Asia 2023.