JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran Perak FC 8-1 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia sekali gus menang dengan agregat 12-2 untuk layak buat kali keempat berturut-turut ke final piala berprestij itu sejak tahun 2019.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu, JDT yang berkelebihan tiga jaringan yang dibawa dari Ipoh dilihat selesa mengawal perlawanan sejak dari awal perlawanan dengan Esteban Solari tetap menurunkan barisan terbaiknya.
Selepas beberapa kali mengancam kubu Perak pada 10 minit pertama perlawanan, Arif Aiman Hanapi berjaya meletakkan JDT satu gol dihadapan pada minit ke-12 selepas bijak memperdaya dua pemain pertahanan Perak untuk gol keempatnya dalam kempen Piala Malaysia.
PIALA MALAYSIA 2023 (Separuh Akhir 2)
FT: Johor Darul Ta'zim 8-1 Perak FC
⚽ Arif Aiman Hanapi 12', Bergson Da Silva 27', 60', Heberty Fernandes 31',90'+1, Fernando Forestieri 52', Syafiq Ahmad 62',77'
⚽ Firdaus Fuad 90'+2Aggregat 12-2
JDT layak ke final Piala Malaysia… pic.twitter.com/4Hbeogleef
— Flash Sukan (@FlashSukan) November 2, 2023
Gawang Perak bocor sekali lagi pada minit ke-27 kali ini menerusi Bergson Da Silva yang menghukum kesilapan penjaga gol Perak, Farhan Abdul Majid dengan rembatan deras dari hujung kotak penalti untuk menggembirakan hampir 15,000 penyokong yang hadir.
Kegembiraan itu bertambah empat minit selepas itu apabila Heberty Fernandes bijak melihat ruang yang ditinggalkan pertahanan dan penjaga gol Perak untuk merembat kencang dari luar kotak penalti untuk gol ketiga sekaligus menjadikan kedudukan aggregat 7-1 ketika tamat babak pertama.
Meskipun sudah selesa mendahului, Harimau Selatan tetap mengganas pada babak kedua dan hanya memerlukan tujuh minit untuk menambah gol apabila Fernando Forestieri menjaringkan gol keempat.
Selepas mendahului 4-0, Solari melakukan pertukaran dengan memasukkan Syafiq Ahmad dan Juan Muniz menggantikan Fernando Forestieri dan Afiq Fazail untuk menambah sengat di bahagian tengah dan serangan JDT.
Pertukaran itu nyata membuahkan hasil apabila sentuhan pertama Juan Muniz pada minit ke-60 menemui Bergson yang menolak masuk gol kelima sebelum Syafiq Ahmad menambah gol keenam JDT dalam tempoh dua minit berselang.
Syafiq Ahmad bagaikan mahu membuktikan sesuatu apabila menjaringkan gol kedua peribadinya yang juga gol ketujuh sekaligus menjamin tempat JDT di final menunggu pemenang antara Terengganu dan Kuala Lumpur City.
Perak bagaimanapun mendapat gol saguhati pada minit-minit akhir perlawanan apabila Firdaus Fuad berjaya menewaskan Syihan Hazmi untuk menjadikan keputusan akhir 8-1 dan aggregat 12-2.
Kejayaan JDT ke final Piala Malaysia ini adalah kali keenam sejak Harimau Selatan ditubuhkan pada 2013 dan berpeluang mempertahankan kejuaraan serta muncul juara buat kali keempat.