PENGURUS Manchester United, Erik Ten Hag kini dalam bahaya dan berkemungkinan dipecat berikutan kekalahan kelab tersebut menentang Newscastle pada Rabu.

Kekalahan 3-0 dalam aksi Piala Carabao kelmarin sekali gus disifatkan sebagai permulaan terburuk yang pernah dilalui United sepanjang tempoh 61 tahun.

Dengan berada di kedudukan kelapan dalam Liga Perdana Inggeris dan kini telah tewas dalam lima perlawanan di Old Trafford pada musim ini, Gary Neville menjangkakan posisi Ten Hag bakal diganti pengurus baharu.

Bukan itu sahaja, United berada dalam posisi bahaya dan dalam ancaman besar untuk tersingkir dari kumpulan peringkat Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Galatasaray dan Bayern Munich namun bernasib baik kerana berjaya menewaskan Copenhagen.

Dengan permainan penting menentang Fulham, Copenhagen, dan Luton yang akan datang sebelum cuti antarabangsa seterusnya, lebih banyak kekalahan boleh membawa kepada pengakhiran Ten Hag sebagai pengurus kelab.

Menurut The Sun, SunSport kini sedang meneliti tujuh senarai pengurus yang berkemungkinan menggantikan Ten Hag jika beliau dipecat. Antara calon yang disenarai pendek:

Image

Graham Potter

Potter sebelum ini merupakan pengurus pasukan Chelsea namun beliau dipecat hanya selepas tujuh bulan membimbing kelab itu ekoran prestasi buruk Blues yang menempatkan mereka di tangga ke-11 dalam Liga Perdana Inggeris.

Potter yang kini menganggur menjadi sorotan bakal menjadi pengurus semula sebaik sahaja SunSport secara eksklusif mendedahkan bahawa beliau merupakan salah satu calon untuk menggantikan Ten Hag jika dipecat.

Image

Zinedine Zidane

Bekas pengendali Real Madrid ini juga tidak mempunyai pekerjaan selepas menamatkan tempoh keduanya mengendalikan kelab tersebut pada tahun 2021. Beliau yang merupakan pemain tengah legenda pernah memenangi dua kejuaraan La Liga dan tiga Liga Juara-Juara sebagai pemain simpanan.

Zidane sebelum ini dikaitkan dengan jawatan United dan dengan ketiadaan calon yang ideal untuk menggantikan posisi Ten Hag, Zidane kini disenarai sebagai salah satu calon paling unggul.

Image

Roberto De Zerbi

De Zerbi telah dikaitkan dengan beberapa jawatan tertinggi selepas mengagumkan dengan gaya permainannya yang unik di Brighton, sekaligus membawa mereka ke Liga Europa buat kali pertama.

Namun begitu, United mungkin perlu memperuntukkan bayaran yang lebih tinggi untuk mengambil beliau sebagai pengurus baharu dan peluang untuk memperbaiki keadaan di Old Trafford mungkin menjadi peluang yang tidak boleh ditolak oleh De Zerbi.

Image

Micheal Carrick

Carrick yang merupakan bekas pemain tengah United pernah menerajui kelab ini menggantikan Ole Gunnar Solskjaer dan membantu pasukannya meraih empat mata dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal dan Chelsea.

Namun, beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan memulakan kerjayanya dalam pengurusan sejurus mengambil alih Middlesbrough.

Walaupun berusia 42 tahun dan masih kurang berpengalaman sebagai pengurus, Carrick telah mempamerkan prestasi yang mengagumkan dalam Liga Kejuaraan serta membantu Boro mara ke perlawanan penentuan ke Liga Perdana Inggeris.

Image

Diego Simeone

Simeone telah menjadi pengurus Atletico Madrid selama 12 tahun dan dikhabarkan beliau tidak mempunyai keinginan untuk menyahut cabaran sebagai pengurus baharu.

Bagaimanapun, difahamkan kontraknya bakal berakhir pada penghujung musim ini dan pengurus termahal di dunia ini perlu bersetuju dengan potongan gaji sebanyak 20 peratus bagi memperbaharui kontraknya.

United mungkin boleh memanfaatkan peluang ini untuk menarik Simeone dari Sepanyol jika ingin menjadikan beliau pengurus baharu sesuai dengan kemampuannya mengatur pertahanan dengan baik.

Image

Julian Nagelsmann

Bayern Munich telah memecat Nagelsmann secara mengejut pada Mac lalu walaupun kelab itu dalam perjalanan untuk memenangi Bundesliga dan masih terlibat dalam Liga Juara-Juara.

Sejak itu, beliau telah dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan Jerman. Namun, jurulatih yang fleksibel dari segi taktikal ini boleh memutuskan untuk mengurus kelab selepas Euro pada musim panas.

Image

Ole Gunnar Solskjaer

Kepulangan Solskjaer mungkin menjadi penantian yang ditunggu ramai dan beliau masih belum membuat kemunculan di gelanggang sejak dipecat daripada United pada November 2021. Solskjaer dipecat selepas tiga tahun menggalas tugas sebagai pengurus Old Trafford yang hanya meraih satu kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

Beliau sebelum ini meluahkan ketidakpuasannya terhadap United kerana tidak menandatangani pemain yang diingininya semasa beliau mengendalikan pasukan itu dan mendedahkan ada pemain menolak peluang untuk menjadi kapten.

Solskjaer mungkin akan menjadi pilihan jika United ingin menunggu sehingga musim panas untuk mencari pengurus baru. Namun, keadaan mungkin tidak banyak berubah jika beliau kembali memandangkan rekod statistik sepanjang pengendaliannya hampir menyamai Ten Hag.