MENJELANG aksi Kelayakan Piala Dunia yang akan menentang Republik Kyrgyz pada 16 November ini, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-Gon telah menyatakan harapannya untuk bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Pan-Gon tersebut telah mendapat sokongan penuh daripada bekas jurulatih kebangsaan sendiri, Wan Jamak Wan Hassan iaitu beliau turut gembira jika perlawanan dapat dilangsungkan di stadium keramat itu.

Menurut Wan Jamak, pihak perbadanan stadium juga perlu bekerja keras dan memberi tumpuan sepenuhnya supaya kualiti padang dapat dijamin berada pada tahap lebih baik dalam masa lagi dua minggu ini.

Beliau juga menambah, “Saya yakin padang boleh digunakan dengan baik jika tiada siapa yang menggunakan stadium tersebut dalam jangka masa sebelum perlawanan kelayakan ini.

“Stadium Nasional mempunyai keistimewaan tersendiri seperti atmosfera yang sangat baik bagi penyokong dan pemain sekali gus memudahkan ramai peminat bola sepak dari Lembah Klang juga untuk turun membanjiri stadium,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Tambahnya, SNBJ juga merupakan stadium khas yang diwartakan untuk pemain Harimau Malaya jadi pilihan utama lokasi perlulah cenderung terhadap stadium tersebut.

Namun demikian, bekas jurulatih Perak FC, Mohd Azraai Khor Abdullah membantah sebarang aksi dan perlawanan pasukan kebangsaan di SNBJ buat masa sekarang.

Tegas beliau, perlawanan Pesta Bola Merdeka sebelum ini telah memperlihatkan keadaan padang yang cukup mencemarkan imej bola sepak negara.

“Nasihat saya cuma satu, jangan malukan negara dan jika ada kemudahan lain lebih baik kita gunakan secara ‘play-safe‘.

“Pilihan kedua iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) adalah yang terbaik walaupun niat sebenar untuk menarik kunjungan penyokong Lembah Klang, tetapi mana lebih penting sekarang ini?

“Mahukan kelebihan daripada segi penyokong atau nak malukan negara?,” tegas Mohd Azraai.

Jelasnya, beliau sangat bersyukur jika Tunku Mahkota Johor (TMJ) perkenan dan prihatin untuk menawarkan kemudahan SSI bagi aksi kelayakan Piala Dunia yang bakal berlangsung pada 16 November nanti.