PEMILIK kelab Melaka FC, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad mendedahkan bahawa Kejohanan Piala Governor 2023 ini merupakan platform terbaik buat para pemain menyerlahkan bakat sekali gus membuka ruang untuk bermain di Melaka FC.

Sebanyak 16 buah pasukan bagi kejohanan liga bola sepak Piala Governor edisi kedua akan bertanding mulai 11 November 2023 hingga 1 Januari 2024.

Menurut Datuk Wira Azmi, tahun lepas mereka mempunyai lebih kurang lapan pemain yang telah diserap dari Liga M3 ke Melaka FC dan kali ini juga pihaknya sudah sediakan jurulatih terbaik untuk memilih pemain yang berpotensi besar menyertai Melaka FC.

Tambahnya, ganjaran keseluruhan yang akan ditawarkan kepada para pemenang kejohanan bola sepak tersebut adalah sama seperti edisi yang lalu iaitu sebanyak RM27,000 dan juara pula bakal membawa pulang RM8,000.

Sementara itu, beliau turut menekankan bahawa Melaka FC akan bermain lagi dalam Liga M3 musim hadapan bagi menebus semula kesilapan dan kekurangan yang pernah dialami.

“Setakat ini, kita telah memperuntukkan lebih kurang RM 1.8 juta hanya untuk Melaka FC.

“Walaupun tidak berada dalam kedudukan terbaik ketika ini (tangga ke-10), kita tetap mengekalkan prestasi terbaik pengurusan dari segi kewangan dan sebagainya.

“Kita juga akan memberi saingan yang luar biasa kelak untuk pergi ke Liga Super lagipun beberapa jurulatih dari luar juga kelihatan berminat untuk menyertai Melaka FC,” katanya kepada pihak media.

Sebanyak empat lokasi dipilih menjadi venue kejohanan iaitu Stadium Hang Tuah, Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) Seri Kota dan Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang.