PEMINAT kelab Manchester United dilaporkan mahu Mason Greenwood kembali meskipun kelab yang sedang mengalami krisis itu mungkin tidak akan menerima Greenwood selepas selesai menjadi pinjaman Getafe.

Pemain sayap berusia 22 tahun itu telah menjaringkan dua gol untuk kelab Sepanyol baharunya ketika menentang pasukan Tardienta pada malam Rabu. Dua gol itu secara tidak langsung menambah kepada gol La Liga pertamanya menentang Celta Vigo bulan lalu.

Kelab yang berpangkalan di Madrid itu sebelum ini telah mendapat persetujuan dari United untuk perpindahan Greenwood secara pinjaman musim ini.

Aksi Greenwood semasa perlawanan sulungnya sebagai pemain Getafe pada 5 September lepas. Kredit: PA

Sementara di Old Trafford, pengurus Erik Ten Hag berada dalam bahaya selepas United tersingkir daripada Piala Carabao dengan kekalahan 3-0 menentang Newcastle pada Selasa.

Ia merupakan kekalahan kelapan kelab tersebut dalam 15 perlawanan yang telah berlangsung sepanjang musim ini dan peminat dengan terdesak menyeru supaya Greenwood dipanggil semula untuk menyertai United.

Di media sosial, rata-rata peminat menulis komen berkaitan Greenwood untuk kembali dalam United. Antara komen yang ditulis: “Saya fikir ini adalah masa terbaik kita bawa Mason Greenwood kembali dari Getafe. Sejujurnya dia seorang yang hebat”. Seseorang yang lain turut memberi komen: “Tahu apa yang kurang dalam skuad Ten Hag ini? Mason Greenwood.”

Greenwood beraksi untuk United dalam perlawanan terakhirnya di Old Trafford pada 22 Januari tahun lalu. Kredit: Getty

Namun, terdapat segelintir yang kurang bersetuju dengan idea tersebut dengan berkata Greenwood perlu menjauhi United. Untuk rekod, Greenwood digantung sejak Januari 2022 oleh kelab Liga Perdana Inggeris itu selepas terbabit dalam kes serangan seksual, namun dakwaan ke atasnya digugurkan pada Februari lalu.

United kemudiannya memulakan siasatan dalaman sebelum memutuskan bahawa Greenwood tidak boleh meneruskan kerjayanya di Old Trafford. Dia kemudiannya menyertai Getafe pada penghujung tawaran perpindahan musim panas dan kini telah menjaringkan tiga gol dalam lapan penampilan.