PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyokong penuh sekiranya Syafiq Ahmad dipanggil ke skuad kebangsaan kerana padanya penyerang itu sentiasa boleh diharapkan apabila diberikan peluang untuk bermain.

Syafiq berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu Harimau Selatan membenam Perak FC 8-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis sekaligus dijangka akan dipanggil Kim Pan-gon untuk menghadapi perlawanan Kelayakan Bersama Piala Dunia FIFA 2026/Piala Asia AFC 2027 menentang Republik Krygyz dan Chinese Taipei.

Solari yang melihat perkembangan pemain itu di sesi latihan kelab hampir setiap hari sentiasa mempunyai keyakinan penuh terhadap Syafiq pada bila-bila masa khidmatnya diperlukan dalam mana-mana perlawanan.

“Syafiq adalah pemain yang sentiasa boleh diharapkan. Meskipun dia kurang mendapat minit permainan kerana perlu bersaing dengan 41 lagi pemain di sini, tetapi saya sentiasa percaya padanya dan dia buktikan kemampuannya dengan dua gol ini.

“Saya percaya pada kemampuan dirinya dan apabila diberikan peluang, dia seperti pemain-pemain yang lain akan membuktikan kebolehan mereka dan saya harap dia berjaya terpilih ke skuad kebangsaan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan separuh akhir itu.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 28 tahun itu juga tidak menolak kemungkinan kembali bersama skuad kebangsaan namun dia meletakkan segala keputusan di tangan jurulatih kebangsaan sama ada mahu meletakkan namanya atau tidak.

“Panggilan ke skuad kebangsaan adalah bergantung kepada jurulatih dan jika diberikan peluang saya akan berikan yang terbaik dan tidak akan sia-siakan peluang. Saya ingin membantu pasukan kebangsaan dan terpulang pada jurulatih untuk menilai diri setiap pemain.”

Sebelum ini menerusi satu temubual bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa Syafiq seharusnya dipanggil ke skuad kebangsaan dan dia telah pun membuktikan dirinya masih berbisa dengan dua gol itu.