JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia belum bersedia untuk menandatangani persetujuan komitmen (LOC) untuk kekal menyertai Program Road to Gold (RTG).
Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, beliau sudah bertemu Team LZJ semalam (Jumaat), yang terdiri daripada Zii Jia dan jurulatih Wong Tat Meng, dan ituah perkara yang diminta.
Katanya, pemain ranking ke-11 dunia itu memohon untuk diberikan sedikit masa bagi meneliti butiran perjanjian berkenaan.
“Kami mengadakan pertemuan dengan Team LZJ semalam bagi membincangkan butiran sokongan dan kriteria dalam perjanjian komitmen RTG.
“Pertemuan itu yang dihadiri saya dan sekretariat RTG selain ahli daripada Team LZJ termasuk Zii Jia dan jurulatihnya Tat Meng berjalan dengan baik.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk Zii Jia mengambil sedikit masa bagi berbincang secara dalaman dan mempertimbangkan program serta perkhidmatan sokongan ditawarkan kepada dirinya dalam RTG.
“Dia ia akan memberikan maklum balas kepada sekretariat RTG dalam masa terdekat,” kata Stuart.
Begitupun, Stuart memberitahu tempoh masa yang diberikan sebelum ini iaitu sehingga 14 November dikekalkan, untuk Zii Jia memberikan jawapannya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan Zii Jia muncul satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.
Dia diberikan tempoh selama 14 hari sehingga 14 November bagi melengkapkan komitmen berkenaan.