KETUA Jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi gembira dengan perkembangan Liga Wanita Nasional 2023 (LWN) yang melabuhkan tirainya pada Sabtu dan menjangkakan lebih kualiti dapat diterapkan dalam liga ini bermula musim hadapan.

Soleen juga melihat banyak perkara positif dari liga ini kepada kemajuan skuad kebangsaan dan yakin dengan tambahan kualiti dalam beberapa bahagian akan menjadikan skuad wanita kebangsaan lebih berkualiti dan mampu bersaing lebih baik di peringkat antarabangsa.

“Tahniah kepada semua pasukan yang bertanding dengan pemain kelihatan gembira kerana dapat bermain lebih banyak perlawanan kompetitif kerana liga ini memberi peluang kepada pemain wanita bermain bola sepak.

Soleen Al Zoubi

“Sejujurnya saya tidak jangkakan persaingan yang sengit dengan empat pasukan hanya dibezakan dua mata dan ini adalah perkara yang baik meskipun kita hanya bermula dengan enam pasukan, namun liga ini masih bagus jika dibandingkan dengan liga-liga wanita di rantau Asia Tenggara ini,” katanya ketika ditemui di Stadium UiTM Shah Alam.

Soleen juga tidak melihat jumlah pasukan sebagai pengukur kejayaan sesebuah liga sebaliknya dia mahukan pasukan yang berkualiti kerana ianya penting dalam pembangunan bola sepak wanita di negara ini.

“Apa yang penting adalah kualiti dan bukannya kuantiti kerana ianya akan menghasilkan pemain yang lebih berkualiti untuk skuad kebangsaan.

“Kualiti yang saya mahukan adalah pasukan yang berkualiti dari segi kestabilan yang dapat memberikan fasiliti, jurulatih dan kakitangan terbaik buat pemain.

“Saya juga berharap lebih ramai pemain berkualiti dapat bermain di LWN kerana jika kita mahu menambah baik kualiti pemain di liga, mereka perlu bermain dengan pemain yang bagus.

“Kualiti lain yang diperlukan adalah pasukan yang mahu membuat pelaburan yang lebih dalam bola sepak wanita kerana dari sini kita akan jadikan asas untuk pemilihan ke skuad kebangsaan tahun hadapan,” jelasnya.

Kewujudan LWN juga dilihat dapat membantu para pemain menjadi lebih cergas dan perkara ini dapat dilihat dalam persembahan Malayan Tigress ketika mendapat tempat ketiga di kejohanan jemputan di Arab Saudi pada September.

“Kami juga dapat melihat daripada data GPS bahawa para pemain menunjukkan perubahan dari segi kecergasan dan membuktikan liga ini membantu para pemain untuk menjadi pemain yang lebih baik meskipun baru sahaja dimulakan dan ini adalah perkembangan yang cukup baik,” katanya.

LWN 2023 yang disertai enam pasukan menyaksikan Sabah muncul juara sulung selepas mengikat Malaysian University dalam aksi dramatik di Stadium UiTM, Shah Alam dan membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM50,000.