CUACA buruk ketika perlumbaan berlangsung tidak menjadi penghalang buat Max Verstappen untuk meraih tempat pertama dalam Grand Prix Sao Paulo pada pagi semalam.

Juara dunia tiga kali berturut-turut Formula Satu (F1) itu berjaya mencatat masa terpantas sebelum awan hujan dan kilat meliputi litar Interlagos dan sesi itu dihentikan awal.

Verstappen yang kini meraih 11 petak utama untuk musim ini berjaya menewaskan Charles Leclerc, Fernando Alonso dan Lewis Hamilton.

Pelumba berusia 26 tahun itu berjaya mempamerkan pemanduan pantas sebelum angin kencang dan ribut menghalang aksi perlumbaan di litar yang penuh mencabar itu.

“Kami tidak tahu bila hujan akan melanda semasa kelayakan. Kami fikir ia akan melanda, tetapi ini adalah cuaca yang ‘gila’,” katanya.

Sementara itu, Leclerc (gambar) yang berada di petak pertama dalam dua perlumbaan sebelumnya berkata dia tidak pernah menghadapi cuaca sebegitu teruk sepanjang kariernya.

“Mulai dari pusingan 4 dan seterusnya tidak ada hujan, tetapi kereta sangat sukar dikendalikan dan tiada cengkaman. Saya fikir untuk masuk ke garaj di hujung pusingan tetapi saya menamatkannya dan berada di tempat kedua. Ia kejutan yang sangat baik. Sesuatu yang sangat aneh bagi semua orang di litar,” tambah Leclerc.

Pada masa yang sama, keputusan ini sukar bagi duo McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri yang kelihatan cukup pantas untuk bersaing dalam perlumbaan merebut petak pertama. Mereka terperangkap dengan hujan yang melanda dan tidak sempat keluar ke litar untuk menetapkan masa pusingan.