KETUA jurulatih pasukan Ulsan Hyundai, Hong Myung-Bo mengakui bahawa pasukannya lebih berhati-hati terhadap aksi yang lebih agresif bakal dilakukan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Juara-juara AFC (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, 7 November.
Kemenangan 3-1 keatas Harimau Selatan bagi pertarungan aksi ketiga Kumpulan I di Stadium Ulsan Munsu minggu lalu tidak meletakkan skuad mereka dalam keadaan yang cukup selesa kerana cakna dengan misi kebangkitan JDT.
Bagi Myong-Bo, aksi di tempat lawan akan menjadi lebih sukar dan tidak dapat diduga tambahan pula dengan pemain-pemain JDT yang bakal melakukan persembahan terbaik di rumah mereka.
“Namun, kita telah melakukan persiapan yang baik untuk perlawanan esok dan semua pemain akan menumpukan sepenuh perhatian dalam aksi pertarungan ini.
“Walaupun kami telah berjaya menewaskan JDT dalam aksi tempoh hari, namun kita tetap akan bermain dengan lebih baik terutamanya di bahagian pertahanan.
“Kita juga sedar JDT mempunyai kemudahan stadium yang baik serta penyokong yang fanatik dan ianya tidak akan memberi kesan kepada pasukan Ulsan untuk memenangi pertarungan esok,” ujarnya dalam sesi sidang media.
Jurulatih yang berusia 54 tahun itu turut menambah bahawa keadaan cuaca di Malaysia yang tidak sama seperti di Korea juga bukan satu alasan untuk mereka beraksi dengan penuh berkeyakinan pada hari esok.
“Kita tidak boleh mengawal keadaan cuaca dan itu tidak menjadi satu isu mahupun tekanan buat pasukan kami,” jelasnya.