STATUS Kim Pan-gon dengan pasukan bola sepak kebangsaan, dijangka tidak terjejas biarpun kontraknya belum dimetrai.

Ini berikutan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman, mengesahkan bahawa pengendali Harimau Malaya itu sudah membuat perancangan program untuk pasukannya sehingga ke tahun hadapan.

Pada sidang media Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-19 di Wisma FAM, Noor Azman enggan mengupas mendalam mengenai status kontrak Pan-gon kerana perbincangan mengenainya akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan sendiri Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Sudah ada perbincangan (lanjutan kontrak) tetapi biarlah kita selesaikan kempen pusingan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dahulu.

“Memang betul beliau (Pan-gon) akan terus dapat peluang bawa pasukan kebangsaan kerana beliau telah merangka semua program sehingga tahun depan,” kata Noor Azman.

Kim Pan-gon sudah merangka program untuk Harimau Malaya sehingga tahun hadapan.

Pan-gon mula membimbing Harimau Malaya pada Januari 2022, menggantikan Tan Cheng Hoe, berjaya menaikkan ranking skuad kebangsaan selain mencapai keputusan memberangsangkan pada siri perlawanan antarabangsa, namun sehingga kini dikhabarkan belum memuktamadkan pembaharuan kontraknya yang dijangka berakhir Januari tahun hadapan.

Skuad negara akan membuka kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia menentang Krygyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain Republik Krygyzstan, skuad negara yang berada dalam kumpulan D juga akan berdepan Oman dan  Taiwan.