JURULATIH Bangladesh Javier Cabrera gembira dengan persiapan yang dilakukan sepanjang 24 hari dengan empat sesi latihan berjaya dilakukan di Malaysia menjelang aksi pembukaan kempen Kelayakan Akhir Piala Asia 2023.

Cabrera menganggap pertemuan bertemu Indonesia minggu lalu akan digunakan olehnya dalam berhadapan pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dari skuad kendaliannya.

“Selepas melakukan persiapan selama 24 hari, kami tidak sabar untuk beraksi dan sememangnya ianya adalah cabaran yang cukup hebat namun segalanya positif di dalam skuad.

“Suasana di dalam pasukan sangat bagus dan kami berpeluang untuk memberi pendedahan kepada pemain kami menentang pasukan yang lebih tinggi rankingnya.

“Kami akan menggunakan kaedah yang sama ketika menentang Indonesia. Kami tidak akan memikirkan tentang pihak lawan tetapi lebih fokus kepada persembahan pasukan kami,” jelas Cabrera kepada media dalam sidang media pra perlawanan pada Selasa.

Nada positif yang sama turut dikongsi pemain tengah, Jamal Bhuyan yang nyata tenang apabila Bangladesh dianggap sebagai pasukan kerdil dan ini memudahkan mereka untuk mencipta kejutan.

Bhuyan juga menganggap Malaysia dan Indonesia mempunyai corak permainan yang sama namun mereka kini menumpukan perhatian terhadap perlawanan menentang Bahrain terlebih dahulu.

“Setakat ini persediaan sangat bagus dengan latihan yang cukup baik. Ianya pasti satu perlawanan yang sukar dan kami sedar akan perkara ini. Ianya bagus bagi pasukan lain menganggap Bangladesh sebagai pasukan kerdil jadi mudah buat kami untuk melakar kejutan.

Malaysia dan Indonesia mempunyai pendekatan dan corak permainan yang hampir sama dan kami akan gunakan perlawanan menentang mereka sebagai persediaan sebelum bertemu Malaysia,” kata Bhuyan yang teruja menghadapi kempen kelayakan ini.

Bangladesh bakal menentang Bahrain esok sebelum bertemu Turkmenistan pada 11 Mei dan mengakhiri kempen kelayakan berhadapan Harimau Malaya pada 14 Mei nanti.