LEE Zii Jia mengambil keputusan untuk tidak menyertai Masters Korea bagi mendapatkan masa rehat mencukupi selepas mengharungi tiga kejohanan berturut-turut di Eropah.
Menurut Team Lee Zii Jia (Team LZJ) di akaun media sosial X, Zii Jia membuat keputusan berkenaan selepas mendapat nasihat daripada doktor dan pakar fizikal.
“Team LZJ bersetuju, yang terbaik buat Zii Jia untuk mengambil sedikit masa berehat sebelum kembali beraksi,” kata Team LZJ.
Ujar Team LZJ, tidak ada perkara serius yang perlu dirisaukan dan mereka berterima kasih di atas semua ucapan kepada Zii Jia.
Zii Jia mempamerkan aksi cemerlang di Eropah apabila berjaya muncul juara Terbuka Arctic di Finland selepas mengalahkan rakan senegara, Ng Tze Yong di perlawanan akhir 21-14, 21-15.
Seminggu kemudian dia berjaya meneruskan rentak cemerlang apabila sekali lagi melangkah ke final di Terbuka Denmark sebelum tunduk mudah kepada Weng Hong Yang 12-21, 6-21.
Bagaimanapun, dia berjaya membalas dendam kekalahan berkenaan dengan menundukkan lawan sama di pusingan pertama Terbuka Perancis sebelum tunduk kepada seorang lagi wakil China, Li Shi Feng 21-17, 11-21, 12-21.
Sabtu lalu profesional negara itu, memohon untuk diberikan sedikit lagi masa sebelum membuat keputusan menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai Program Road to Gold (RTG).
Sehari sebelum itu Team LZJ mengadakan pertemuan dengan penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam yang turut dihadiri Zii Jia dan jurulatihnya, Wong Tat Meng.