FOTO :  Malaysian Hockey Confederation

PASUKAN hoki dalam dewan wanita negara bermula langkah kiri selepas tewas tipis 2-3 kepada Afrika Selatan yang berlangsung di Stadium Hoki Indera Mulia, Ipoh Perak pada Selasa.

Dua gol berjaya dicetak pasukan negara pada perlawanan pertama pusingan round robin hasil penyudahan penalti stroke oleh Iren Hussin dan gol pukulan sudut penalti yang disudahkan Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun.

Pada aksi pertama, Malaysia berjaya memaksa Afrika Selatan untuk menunggu sehingga penghujung suku pertama untuk membuka tirai jaringan selepas Afrika Selatan dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-10 dan kelebihan tersebut digunakan oleh Malikah Hamza bagi meletakkan pasukannya dihadapan.

Bersambung suku kedua, Afrika Selatan menambah satu lagi gol juga menerusi kelebihan pukulan sudut penalti kali ini disudahkan oleh Garbiella Terblanche pada minti ke-13 dan dua kelebihan gol yang dimilik Afrika Selatan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, Malaysia kembali mengejar kedudukan selepas kesilapan yang dilakukan Afrika Selatan menghadiahkan penalti stroke dan gol Iren Hussin pada minit ke-26 kembali membuka permainan untuk Malaysia mengejar kedudukan lawan.

Bagaimanapun, seminit kemudian, giliran Afrika Selatan memperolehi penalti stroke selepas pemain negara melakukan kekasaran dan Tegan Fourie menjarakkan kembali kedudukan 3-1.

Beberapa saat sebelum aksi sebenar berakhir, Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan jaringan lewat Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun tidak cukup untuk Malaysia menidakkan kemenangan 3-2 Afrika Selatan.

Skuad wanita negara akan turun untuk aksi kedua pusingan round robin bertemu Namibia.