UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam melaungkan amaran awal betapa pasukan itu akan terus menguasai Liga Bolasepak Institut Pengajian Tinggi (LBSIPT) musim 2023-2024 selepas merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih, petang Selasa.

Skuad ‘Young Lion’ selaku tuan rumah yang juga juara Liga IPT 2022/2023 menjulang trofi berkenaan selepas menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 1-0.

Jaringan tunggal Muhammad Fakhrur Razi pada minit akhir separuh masa pertama sudah cukup menobatkan pasukan UiTM Shah Alam selaku sang juara.

 

Sepanjang perlawanan, anak buah Mohd Yazli Yahya mempamerkan keazaman tinggi untuk menumpaskan UniKL terutama bermain di gelanggang sendiri sejak tiupan wisel pertama.

Bagaimanapun, UniKL yang juga juara Piala Menteri Pengajian Tinggi 2022 berjaya memberikan cabaran sengit kepada UiTM sepanjang pertembungan atas padang.

Sebaik babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun kedudukan kekal sehingga tamat 90 minit permainan.