PEMANAH negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli yakin peluang terakhir untuk layak ke Olimpik Paris masih terbuka buatnya, apabila dijadual menyertai Piala Dunia Memanah 2024 Peringkat 3 di Antalya, Turkiye.
Menurutnya, tiga slot ditawarkan pada kejohanan yang menjadi peluang terakhir untuk merebut tiket berkenaan, yang akan berlangsung 18 hingga 23 Jun 2024.
Bagi Zarif, dengan masa yang ada, dia kepada jurulatihnya dan mereka akan memberi fokus kepada beberapa aspek agar boleh tampil dengan prestasi terbaik dalam kejohanan akan datang.
Dia sendiri enggan memikirkan tempat ke dalam Program Road To Gold (RTG) sebalik fokus kepada tujuan utama terlebih dahulu.
“Setakat peluang itu ada tapi sekarang ini kita akan membaiki kesilapan di dalam latihan dahulu.
“Untuk berada dalam RTG, itu juga cabaran untuk mengejar ranking 10 terbaik dunia cuma ketika ini kita akan fokus layak dahulu ke Olimpik,” katanya pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-37 pada Rabu.
Zarif dipilih sebagai olahragawan selepas meraih pingat emas dalam Kejohanan Asia World Ranking Tournament bagi acara recurve individu dan dua pingat emas di Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 dalam acara recurve individu dan berpasukan.
Zarif ketika ini berada di ranking ke-119 dunia dalam acara recurve lelaki.
Sepanjang tahun ini, Zarif belum meraih kejayaan memberangsangkan berbanding 2022, ketika menjuarai Pusingan 1 Piala Asia di Phuket, Thailand.
ARTIKEL BERKAITAN : Zarif, Madhuri dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati UPM
Pada Temasya Sukan Asia di Hangzhou, China Oktober lalu, dia menamatkan saingan individu pada kedudukan ke-17.
Selain Piala Dunia Peringkat 3 di Antalya, Peringkat 1 dan 2 Piala Dunia di Shanghai, China (23-28 April) serta Yecheon, Korea (21-26 Mei) turut menawarkan mata kelayakan Olimpik Paris, namun setakat ini namanya tidak didaftarkan.