PEMAIN beregu campuran negara cemerlang di Masters Korea apabila tiga gandingan mara ke suku akhir diketuai pasangan nombor 10 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Tang Jie-Ee Wei tiada masalah mengatasi rakan senegara yang juga gandingan baharu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, 21-9, 21-8.
Masters Korea amat penting buat Tang jie dan Ee Wei kerana jurulatih beregu campuran, Nova Widianto merancang untuk mereka mendapatkan sebanyak mungkin mata untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir, Disember depan.
“Saya pesan kepada Tang Jie-Ee Wei untuk tidak terlalu banyak berfikir, harungi sahaja perlawanan tanpa memikirkan mahu ke final seperti di Terbuka Perancis, sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri,” kata Nova.
Nova berkata, mata dikumpul Tang Jie-Ee Wei belum cukup selamat meskipun berada di ranking Jelajah Dunia kelapan.
Gandingan negara ketika ini mengumpul 75,300 mata tidak jauh berbanding pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin(73,890) dan gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet (73,820) diranking kesembilan dan 10.
“Amat penting buat Tang Jie-Ee Wei layak ke Jelajah Dunia Akhir, kerana dia akan beraksi buat kali pertama sekali gus meraih keyakinan untuk menghadapi cabaran tahun hadapan,” ujarnya.
Di suku akhir esok, Tang Jie-Ee Wei akan menentang Chiu Hsian Chieh-Lin Xiao Min dari Taiwan.
Mengiringi gandingan ABM itu, dua pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Soon Huat-Shevon mengatasi gandingan kelayakan dari Korea Selatan, An Yun Seong-Lee Yeon Woo 21-11, 21-13 manakala Kian Meng-Pei Jing pula menewaskan Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yan 22-20, 18-21, 21-18.
Di suku akhir esok, Soon Huat-Shevon akan berdepan pilihan ketiga dari Korea, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, manakala Kian Meng Pei Jing pula bertemu pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya xin.