KELAB Ragbi Cobra menampilkan tujuh pemain import dari New Zealand sebagai tonggak utama dalam Kejohanan Ragbi Cobra 10 sebelah (10s) dalam misi memburu kejuaraan pada kejohanan yang dijadual berlangsung pada 11 dan 12 November ini.

Ketua Jurulatih Cobra, Nik Safuan Ismade berkata, selain pemain luar negara, pasukan kendaliannya itu turut membariskan empat pemain tempatan untuk memberi saingan sengit dalam kejohanan Jubli Emas berkenaan.

“Persiapan untuk pemain, kita gabungkan pemain import dan tempatan mengikut kemampuan tetapi secara realistik, kita perlukan beberapa pemain naturalisasi,” kata Nik Safuan.

Selepas tiga tahun menyepi, kejohanan edisi ke-50 itu kembali dipertandingkan di Padang Astaka Petaling Jaya, Selangor membabitkan penyertaan sembilan pasukan lelaki termasuk tiga skuad baharu, dua dari New Zealand dan satu dari Papua New Guinea.

Nik Safuan Ismade Nik Man, persiap Cobra untuk pertahan kejuaraan dimenangi 2019.

Ujar Nik Safuan, walaupun tempoh latihan yang dijalani terlalu singkat kerana pemain import baru sampai ke Malaysia Isnin lalu, beliau yakin anak buahnya tidak berdepan kesukaran menyesuaikan diri kerana berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

“Kalau ikutkan pemain-pemain luar itu dari New Zealand yang bermain dari pelbagai kelab, antaranya Hawke’s Bay, Manawatu dan Bay of Plenty. Persiapan agak singkat tapi apa yang kita harapkan jadi juara sekali lagi tahun ini.

“Ini adalah tahun paling penting, ke-50. Pemain-pemain yang kita panggil dari luar dah mempunyai keserasian, yang penting untuk pasukan Cobra adalah mendapatkan keserasian import dan tempatan. Saya rasa tak jadi masalah walaupun memerlukan masa sedikit,” katanya.

Ketua jurulatih berusia 42 tahun itu, akan memilih dua pemain tempatan yang terbaik untuk bergabung dengan tonggak import untuk memburu kejuaraan bagi kelab ragbi tertua di Malaysia.

Dalam penganjuran pada 2019, Cobra meraih kejuaraan selepas menewaskan kelab Blackhawks dengan kemenangan 15-12.