PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui karakter pemain yang menunjukkan sikap disiplin yang baik selepas mendahului adalah salah satu faktor kemenangan The Rhinos ke atas Haiphong FC 4-1 dalam aksi Piala AFC pada Khamis.

Kim Swee juga gembira dengan keputusan perlawanan yang menyaksikan Sabah kembali menerajui takhta Kumpulan H selepas berjaya melengkapkan misi wajib menang dan dia mahu momentum ini dikekalkan pada baki dua lagi aksi peringkat kumpulan

Dalam perlawanan itu, empat gol masing-masing satu dari Daniel Ting, Darren Lok, Gabriel Peres dan Jeffri Firdaus Chew cukup untuk memberikan tiga mata penuh di hadapan hampir 7,500 penyokong yang hadir ke Stadium Likas.

“Pemain menunjukkan aksi yang berdisiplin selepas kita mendapatkan gol dan terus kekal dengan momentum kerana kita tahu lawan akan datang dengan lebih hebat pada separuh masa kedua sebab mereka ketinggalan namun pemain lakukan tugas yang baik dalam permainan ini.

“Kita juga perlu memastikan kita tidak dibolosi selepas mendahului 2-0 dan pada masa yang sama kita berjaya mendapatkan gol ketiga hingga menyebabkan mereka sukar untuk kembali bangkit.

“Perlawanan ini amat penting kerana kita perlukan kemenangan dan kini berpeluang mara ke peringkat seterusnya tetapi masih ada dua perlawanan dan tidak boleh mengambil mudah dan perlu kekalkan momentum disiplin dalam setiap perlawanan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Bekas pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan itu turut gembira kerana skuadnya mempunyai ramai pemain yang mampu menjaringkan gol namun bimbang dengan jadual yang padat terutama melibatkan pemain kebangsaan.

“Jika dilihat pada jumlah jaringan Sabah dalam Piala AFC dan juga Liga Super, kita mempunyai beberapa pemain yang boleh menjaringkan gol dan empat gol yang terhasil ini membantu kita tewaskan mereka dengan cara permainan yang perlu dilakukan.

“Pemain perlu melalui jadual perlawanan yang banyak dan tanpa henti selepas ini. Ianya baik untuk pemain yang tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan tetapi saya harus fikirkan cara bagaimana untuk pemain kebangsaan yang bermain tanpa henti tetapi saya percaya semua pemain mampu berikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang bermain,” jelasnya.

Ditanya apakah keutamaan Sabah FC ketika ini sama ada Piala AFC atau pun Liga Super, Kim Swee mengatakan kedua-dua kejohanan adalah penting kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan dia tidak mahu mengambil mudah dalam setiap perlawanan.

“Kedua-dua kejohanan penting kerana jika layak ke peringkat seterusnya dalam Piala AFC termasuk JDT dan Terengganu, ini akan menambah mata dalam ranking negara dan untuk liga pula, kita tidak boleh mengambil mudah kerana kami percaya boleh mendapat tempat ketiga jika berjaya memungut tiga mata dalam semua baki empat perlawanan,” ujarnya.

Dalam sidang media yang sama, jurulatih Haiphong FC,  Chu Dinh Nghiem mengakui kemantapan penyudah menjadi perbezaan antara anak-anak buahnya dengan Sabah namun dia masih optimis Haiphong masih mampu layak ke peringkat seterusnya.

“Kami gagal menterjemahkan peluang menjadi gol berbanding Sabah yang berjaya memanfaatkan peluang dan ini adalah perkara yang membezakan kami dan Sabah dalam perlawanan ini,” katanya.

Kemenangan 4-1 ke atas Haiphong FC meletakkan Sabah di tangga teratas Kumpulan H dengan sembilan mata selepas empat perlawanan dengan Hougang United dan PSM Makassar menanti dalam baki dua perlawanan.