PEMAIN sayap lincah Sabah FC, Saddil Ramdhani masih tidak mahu mendabik dada meskipun muncul sebagai pemain dengan bantuan jaringan terbanyak dalam kempen Piala AFC musim ini sebaliknya mahu terus membantu pasukan menjadi pasukan yang lebih baik.

Dua bantuan jaringan dari pemain kebangsaan Indonesia itu membantu The Rhinos membelasah Haiphong FC 4-1 dalam aksi Piala AFC di Stadium Likas pada Khamis sekaligus mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Masih banyak yang perlu dipelajari untuk kami lebih bertambah baik sebagai satu pasukan kerana kami mempunyai satu tujuan sebagai pasukan dan kami tidak pernah mengutamakan seseorang individu.

“Sesiapa pun yang bermain perlu beraksi dengan baik kerana itulah kerjasama pasukan dan saya berharap kualiti pasukan ini dapat ditingkatkan dan Liga Malaysia akan terus menjadi kebanggaan sebagai liga teratas di kejohanan AFC,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Saddil yang dipanggil ke skuad kebangsaan Indonesia untuk kelayakan Piala Dunia itu juga tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai masa depannya selepas desas-desus yang mengatakan berlaku masalah dalaman pada pasukan Sabah.

“Itu bukan hak saya untuk berbicara dan perkara itu perlu ditanya kepada pengurusan kerana sebagai pemain, saya hanya fokus dalam latihan dan apa yang kami alami dalam pasukan itu adalah persoalan lain,” jelasnya.

Saddil kini sudah mengumpul lapan bantuan jaringan selepas empat perlawanan dan kehadirannya dalam pasukan sering kali menjadi perhatian ketua jurulatih lawan yang mahu menyekat kemaraannya dari mengkucar-kacirkan pertahanan.