PENJAGA gol berpengalaman Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat bersyukur kerana berjaya membantu pasukannya mencipta kemenangan ke atas Haiphong FC 4-1 dalam aksi Piala AFC di Stadium Likas pada Khamis.

Meskipun sudah lama tidak diturunkan terutama dalam kempen Piala AFC, Khairul Fahmi atau mesra disapa Apek mempamerkan aksi bertenaga ketika mengawal gawang Sabah bagi mengelakkan dibolosi.

Dia turut menerima pujian daripada Datuk Ong Kim Swee kerana sentiasa menjadi pemain yang boleh diharap dan dia mengakui pengalamannya bermain di kejohanan AFC sebelum ini banyak membantunya beraksi baik dan juga menggunakan pengalaman itu untuk membantu pasukan menjadi lebih baik.

“Syukur kerana kita tahu bukan mudah apabila menentang pasukan dari Vietnam dan kami semua dapat mengikut arahan daripada jurulatih jadi kredit untuk setiap pemain atas kemenangan ini.

“Saya hanya jalankan tanggungjawab saya sebagai pemain. Benar seperti yang Datuk Ong katakan yang saya ada pengalaman bermain di kejohanan AFC sebelum ini dan saya gunakannya untuk membantu pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Apek juga gembira dengan persaingan yang diberikan Damien Lim dan tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang negatif kerana baginya ia membantu dirinya untuk meningkatkan lagi prestasi untuk kekal relevan.

 

Dia juga percaya dengan kemenangan ke atas Haiphong FC itu semakin mencerahkan peluang Sabah ke peringkat seterusnya namun dia tidak mahu tergesa-gesa dan mahu kekal fokus pada setiap perlawanan.

“Persaingan dengan penjaga gol muda saya anggap sebagai satu cabaran untuk saya tingkatkan lagi persembahan meskipun tahu diri ini semakin berusia tetapi itu adalah salah satu motivasi untuk saya berikan yang terbaik dalam latihan dan dalam perlawanan.

“Syukur kerana menang dan semakin hampir ke peringkat seterusnya tetapi apa-apa boleh jadi dalam kumpulan ini dan kita akan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.