BAPA kepada pemain Liverpool, Luis Diaz telah pulang semula ke rumah untuk bersatu semula dengan rakan-rakan dan keluarganya selepas diculik kumpulan pemberontak gerila National Liberation Army (ELN) di Colombia.
Rakaman detik yang menyentuh hati menunjukkan Luis Manuel Diaz Jimenez yang penuh emosi pulang ke rumah selepas 12 hari di bawah tahanan kumpulan itu. Beratus orang menanti kepulangannya dengan berbaris di tepi jalan di Barrancas, tempat Diaz dan isterinya diculik pada 28 Oktober lalu.
Rakaman yang dikongsi dalam talian itu menunjukkan jiran-jiran dan rakan-rakan bersorak dan memainkan muzik ketika kereta yang membawa Diaz melalui jalan yang sesak. Diaz yang penuh sebak kemudian disambut oleh rakan-rakan dan keluarganya yang menangis ketika mereka berpelukan.
Diaz kemudian memberi keterangan untuk kali pertama tentang kisahnya: “Saya bersyukur kepada Tuhan atas peluang kedua ini. Saya berterima kasih kepada Colombia atas sokongan hebat ini.” Dia turut berterima kasih kepada komuniti tempat tinggalnya atas sokongan kepada keluarganya.
Menurut Caracol News, Diaz pulang ke rumah dengan lutut yang cedera, dan dapat dilihat berehat di atas katil dengan keluarganya di sisi. Lelaki berusia 58 tahun itu dilihat keluar dari helikopter pada Khamis di kawasan sempadan antara La Guajira dan Cesar, di mana dia disambut oleh jawatankuasa penyelamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Helikopter itu dilihat di lapangan terbang Valledupar setelah dipersetujui bahawa ELN akan menyerahkan Díaz kepada jawatankuasa itu di suatu tempat di Serrania del Perija. Pelepasan Diaz berlaku selepas dipersetujui bahawa sebuah jawatankuasa dari PBB dan Gereja Katolik akan berhubung dengan ELN.
Bapa kepada bintang Liverpool itu dilihat melambai ketika keluar dari pesawat sebelum dia diberikan pemeriksaan perubatan dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lebih terperinci. Selepas berita pelepasan bapanya, Luis Diaz bermain untuk Liverpool dalam perlawanan Liga Europa mereka menentang Toulouse.
Pemain sayap Liverpool itu kekal berlatih semasa insiden tersebut dan masuk sebagai pemain gantian lewat dalam perlawanan menentang Luton pada hujung minggu lalu. Kerajaan Colombia mengumumkan pada Rabu bahawa operasi untuk melepaskan Luis Mane Diaz telahpun bermula namun bapa bintang Liverpool itu baru dibebaskan semalam. Pihak berkuasa Colombia telah menawarkan ganjaran sebanyak $200,000,000 Peso (RM16.78M) untuk kepulangan Diaz.
Terdahulu, Luis Manuel Diaz Jimenez dijadikan tahanan dengan diacukan senjata bersama isterinya pada 28 Oktober di Barrancas. Ibu Diaz ditinggalkan dalam kereta dan diselamatkan oleh polis, tetapi pejuang sayap kiri ELN mengheret bapanya selepas dikejar.
Penculikan yang berlaku mencetuskan kemarahan di Colombia, di mana Luis Diaz sangat popular dan bermain untuk pasukan kebangsaan. Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mendedikasikan kemenangan Liga Perdana 3-0 ke atas Forest pada Ahad kepada Diaz, mengatakan ia adalah “untuk saudara kita”.
Kelab itu hari ini mengeluarkan kenyataan di Twitter (kini dikenali sebagai X), menulis: “Kami gembira dengan berita pembebasan bapa @LuisFDiaz19 dan kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan pembebasannya.”