PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Afiq Fazail sedia bersaing dengan rakan sepasukan lain bagi merebut posisi utama skuad Harimau Malaya.

Afiq berkata, tugasnya ketika ini adalah memberikan komitmen penuh di tengah padang bagi menambat hati pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bertemu Kyrgyzstan.

“Memang saya nak main untuk Malaysia. Dalam sesi latihan saya akan bersungguh-sungguh dan dari situlah kami akan beri saingan sesama sendiri.

“Sedikit terujalah untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan saya akan cuba yang terbaik nak dapatkan kemenangan dalam dua perlawanan yang akan datang,” katanya semasa sesi latihan hari kedua di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Sabtu.

Berdasarkan rekod, kali terakhir Afiq menyarung jersi negara ketika kelayakan Piala Dunia 2012 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 November 2019.

Barisan Harimau Malaya bersemangat meneruskan sesi latihan pusat rasmi hari kedua di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Sabtu.

Jelas pemain kelahiran Pontian berusia 29 tahun itu, dirinya akan segera mengadaptasi sistem diterapkan Kim Pan-gon yang gemar bermain corak bertempo tinggi dan pantas.

“Semua atas coach Pan-gon lah. Dia akan lihat kita punya latihan dalam masa seminggu ini sebelum akan membuat pilihan.

So far macam semalam latihan hari pertama rasa dah dapat keserasian pemain. Kita okay sebab sebelum sebelum ini pun kita dah pernah bermain sama-sama,” katanya.

Penilaian Flash Sukan dapati semua 25 pemain Harimau Malaya semakin menampakkan perkembangan positif sejak menjalani kem latihan pusat di Kelana Jaya pada Jumaat.