PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria mengatakan tidak banyak persatuan sukan kebangsaan yang mewujudkan blueprint berserta lengkap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti apa dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jelas Norza, beliau mengucapkan tahniah buat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kerana telah berjaya mewujudkan F:30 Fasa Satu dan terbaru Fasa Dua yang diperkenalkan di Subang Jaya, hari ini.

“Apa yang menarik ialah satu-satunya, tak banyak NSA yang telah mewujudkan blueprint yang ada dengan KPI.

“Tak ramai yang meletakkan perancangan secara telus dan sebenar untuk pencapaian mereka.

” Jadi, semua pihak perlu percaya pada proses yang sudah dibentangkan dalam F:30. Saya selalu katakan percaya kepada proses apa yang anda inginkan dan kami perlu membantu,” kata Norza.

Pada masa sama, sebagai Presiden MOM, beliau ingin melihat lebih ramai atlet dan banyak NSA yang dihasilkan untuk keseimbangan sukan itu sendiri.

“Atlet, jurulatih, mereka semua kini boleh menjadi secara kolektif bekerja secara ekosistem. Sekali lagi pujian untuk FAM atas tugasan yang baik ini,” katanya.