PEMAIN penyerang skuad kebangsaan, Paulo Josue menekankan bahawa dia memandang serius terhadap perlawanan pertama bagi pusingan kedua Aksi Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Pertembungan yang bakal menyaksikan skuad pengendalian Kim Pan-Gon menentang pasukan Kyrgyzstan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 November 2023.

Pemain kelahiran Brazil ini menyatakan bahawa dia akan lebih berwaspada terhadap ancaman yang akan diberikan walaupun baru-baru ini Kyrgyztan telah ditewaskan oleh skuad Filipina dalam aksi persabahatan Antarabangsa, 15 Oktober lepas.

Berdasarkan rekod, Filipina kini berada di kedudukan bawah Malaysia iaitu ke-138 dunia manakala negara kita sedang menduduki tangga ke-137.

“Jadi, walau apapun keadaan sekarang kami akan menghadapi persaingan nanti dengan mental yang lebih terbuka kerana pelbagai strategi pasti akan digunakan daripada skuad Kyrgyztan sendiri.

“Tiga mata pertama untuk direbut di halaman sendiri ini sangat penting dan kita akan tingkatkan usaha yang lebih bagi menepis cabaran besar yang akan dilempar pada perlawanan nanti.

“Walaupun dalam Pestabola Merdeka sebelum ini kami telah kalah dengan Tajikistan, tetapi kali ini kami akan cuba mempersembahkan aksi yang terbaik buat Malaysia,” ujarnya semasa sesi latihan hari kedua di Wisma FAM.