SSL Team Malaysia yang menyertai Piala Emas Star Sailors League (SSL) Gran Canaria, Sepanyol, minggu ini, menerima suntikan semangat dengan kehadiran Penaung Dirajanya, Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketibaan Tengku Amir Shah di Sepanyol pada 9 November lalu, disambut oleh ketua pasukan Megat Danial Megat Najmuddin, diiringi anggota pasukan perahu layar negara, termasuk Khairulnizam Mohd Affendy serta pemenang pingat emas Sukan Asia 2022, Nur Shazrin Mohamad Latif.

“Kami menjunjung kasih kepada DYTM Tengku Amir Shah kerana meluangkan masa memberi sokongan moral kepada kami,” kata Megat Danial.

“Kami mengambil kesempatan untuk menerangkan kepada Baginda mengenai persiapan kami, terutama tempoh latihan selama seminggu di Croatia, sebelum kedatangan kami ke Gran Canaria

“Kami yakin akan mendapat tempat 20 teratas pada pusingan akhir ini.”

Dalam upacara undian yang dijalankan dengan kehadiran Tengku Amir Shah pada 9 November, SSL Team Malaysia telah diundi sekumpulan dengan Antigua and Barbuda, Ukraine dan Bermuda di Fleet 3 pada pusingan 1/32.

Fleet 1 merangkumi Peru, Bulgaria, Slovenia dan Tahiti, manakala Fleet 2 menampilkan Portugal, Chile, Cuba dan Estonia. Fleet 4 terdiri daripada Republik Czech, Lithuania, Afrika Selatan dan Oman.

Dua pasukan terbaik daripada setiap Fleet akan mara ke pusingan 1/16.

Dengan atlet Olimpian Khairulnizam melaksanakan peranan sebagai jurumudi dibantu oleh Nur Shazrin sebagai penyusun taktikal, Malaysia mendapat tempat kedua di belakang Antigua and Barbuda dalam Perlumbaan 1 pada 10 November dan di tangga ketiga di belakang Antigua and Barbuda dan Ukraine pada Perlumbaan 2 pada 11 November.

Piala Emas SSL, bermodelkan konsep saingan bola sepak Piala Dunia FIFA, menampilkan 40 negara, dengan setiap pasukan menyenaraikan krew seramai 11 pelayar.

Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan di pesisiran Las Palmas de Gran Canaria, dengan menggunakan perahu layar yang sama, iaitu SSL47 One- Design berukuran 47 kaki.

Format pertandingan berasaskan penyingkiran, dengan pasukan dalam kelompok 25-56 ranking terbawah SSL disyaratkan bersaing di pusingan kelayakan, bermula dengan 32 pasukan yang dibahagikan kepada lapan Kumpulan. Dua pasukan teratas dari lapan Kumpulan itu akan bersaing dalam pusingan 1/16 membabitkan lapan pasukan dalam kelompok 17-24 ranking SSL dengan lapan pasukan terbaik dari pusingan 1/32.

“Kami menjalani latihan yang membuka mata di Split, Croatia, di bawah pengawasan jurulatih Alan Philip Smith dari New Zealand, jadi kami berharap agar dapat menyempurnakan petuanya.”

Selain Khairulnizam dan Nur Shazrin, SSL Team Malaysia dianggotai oleh pelayar veteran Ahmad Faizul Aswad Mohamed (Grinder), Ahmad Hakimi Ahmad Shukri (Trimmer), Ahmad Syukri Abdul Aziz (Offside Trimmer), Mohd Azhar Sadon Zubir (Pitman), Uzair Amin Mohd Yusof (Mainsail Trimmer), Mohd Akiyuddin Mat Zaki (Bowman), Asri Azman (Floater), Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (Spare Trimmer) dan Ahmad Khairulhafiz Mohd Khmbali (Spare Floater).

Piala Emas SSL mendapat pengiktirafan badan induk dunia sukan pelayaran -World Sailing – sebagai Piala Dunia sukan pelayaran, dengan pemenangnya diisytihar negara terbaik dalam sukan ini.

Daripada 40 negara yang mara ke pusingan terakhir, 24 layak secara langsung berdasarkan kedudukan ranking SSL secara keseluruhan, dengan lapan daripadanya – Sepanyol, United Kingdom, Denmark, Jerman, Belanda, New Zealand, Australia dan Itali layak ke suku akhir.

Piala Emas SSL dianjurkan oleh Stars Sailors League (SSL) dan Real Federacion Canaria de Vela, sebagai penganjur tempatan, dengan kerjasama Federacion Canaria de Vela Latina.

Selepas mendapat tempat ketiga dalam Ujian 1 di Tasik Neuchatel pada 13-19 September 2021, SSL Team Malaysia menduduki tangga kedua selepas Afrika Selatan dalam Kumpulan 7 pada Siri Kelayakan, juga di Lake Neuchatel pada Julai 2022 untuk mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Emas SSL.

Ikuti perkembangan terkini perlumbaan Piala Emas SSL Facebook: SSL Gold Cup & Star Sailors League, Instagram: sslgoldcup & @starsailorsleague and Youtube: Star Sailors League.