PEMANAH recurve negara, Ariana Nur Dania Zairi sah menjadi atlet keempat negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengesahan itu dibuat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menerusi presidennya, Datuk Abdul Hamid Hasan.

Menurut Abdul Hamid, Ariana Nur Dania mempamerkan aksi memukau sepanjang Kejohanan Kelayakan Benua Asia, Sukan Olimpik Paris 2024 di Bangkok, Thailand, yang berakhir pada Sabtu.

Aksi Ariana Nur Damia pada aksi di Kejohanan Kelayakan Benua Asia, Sukan Olimpik Paris 2024 di Bangkok, Thailand.

“Saya sahkan beliau layak untuk beraksi di sana (Paris) sebagai wakil negara, cukup membanggakan negara,” katanya.

Atlet berusia 18 tahun itu, layak ke Paris 2024 secara merit, sekali gus menjadi wakil keempat negara mengesahkan kedudukan untuk beraksi di temasya terbesar dunia, empat tahun sekali itu

Ariana mencatat keseluruhan 649 mata dan menguasai tempat pertama pusingan kelayakan, sekali gus memecahkan rekod baru kebangsaaan bagi acara recurve 70 meter (m) wanita, 36 anak panah.

Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan memuji prestasi Ariana Nur Damia. |Foto BERNAMA

Dia tidak berhadapan masalah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menewaskan pemanah Iran, Yasna Pour Mahani, dalam aksi separuh akhir untuk ke final.

Meskipun mara ke final sudah cukup untuk mengesahkan tempat ke Olimpik Paris, Ariana Nur Dania terus mencuri tumpuan dalam aksi final, apabila menewaskan pemanah Uzbekistan, Ziyodakhon Abdusattorova, 7-3 untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Ariana muncul atlet keempat negara layak secara merit ke temasya sukan terbesar dunia itu selepas Bertrand Rhodict Lises daripada sukan terjun, Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Jhonathan Wong (menembak).