TONGGAK pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Shahrul Saad yang juga pemain skuad kebangsaan mendedahkan bahawa ketua jurulatih, Kim Pan-Gon telah mendedahkan corak permainan pasukan Kyrgyztan yang akan menjadi tentangannya pada 16 November 2023 dalam pusingan kedua Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Menurut Shahrul Saad yang tergolong dalam lima muka baharu ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya memuji usaha pengendalinya untuk memastikan pasukan dapat membaca kelebihan-kelebihan pemain pihak lawan.

Tambahan pula, bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan satu kelebihan yang bermakna buat skuad kebangsaan untuk merampas tiga mata awal dalam perlawanan pertama nanti.

“Kami semua berada dalam keadaan yang baik setakat ini juga diberi motivasi yang tinggi untuk mendapatkan semula keserasian bersama skuad.

“Ini hari ketiga saya menjalani sesi latihan dan saya sangat berharap supaya saya diberi peluang untuk bermain mewakili negara dalam perlawanan pertama menentang Kyrgyztan dan akan memberikan yang terbaik buat Malaysia.

“Mengenai minit permainan juga saya hanya ingin memastikan bahawa tahun ini dapat beraksi dengan lebih banyak dalam perlawanan-perlawanan bagi skuad kebangsaan,” ujarnya kepada media pada hari ketiga kem latihan pusat di Wisma FAM.

Shahrul antara pemain yang akan memberikan persembahan terbaik untuk mengekang asakan lawan sekali gus memastikan kubu skuad Malaysia terus kekal kebal.