JUARA empat kali gelaran Grand Slam, Naomi Osaka dijangka kembali ke gelanggang tenis di Brisbane International kurang enam bulan selepas melahirkan anaknya.
Osaka yang merupakan bekas pemain nombor satu dunia tidak bermain di Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) sejak September 2022, dan pada Julai lalu dia mengumumkan kelahiran anak perempuan pertamanya, Shai bersama penyanyi rap Amerika, Cordae.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke gelanggang dan bertanding. Saya sentiasa suka memulakan musim saya di Brisbane dan tidak sabar untuk kembali. Brisbane International adalah sebuah kejohanan yang hebat dan akan mempersiapkan saya untuk kembali cemerlang pada musim panas ini.” ujar Osaka.
Perlawanan itu diadakan bermula 31 Disember 2023 hingga 7 Januari 2024, dan digunakan sebagai acara pemanasan untuk Terbuka Australia, Grand Slam pertama musim ini.
Dua daripada empat kejuaraan Grand Slam Osaka diperolehi di Australia, dengan kemenangan terbarunya pada tahun 2021.
Ketika Terbuka Perancis pada tahun yang sama, Osaka mendedahkan dia mengalami ‘kemurungan yang panjang’ sejak memenangi gelaran grand slam pertamanya pada tahun 2018 dan menarik diri dari kejohanan itu.
Bintang Jepun berusia 26 tahun itu dalam temubual bersama ESPN bulan lalu menyatakan bahawa dia berhasrat untuk memainkan jadual yang sibuk pada tahun 2024. Dia berkata: “Ia pastinya lebih banyak kejohanan daripada yang saya pernah mainkan.”
The four-times Grand Slam winner Naomi Osaka is set to return to the WTA tour after a 15-month hiatus to warm up for the Australian Open in January https://t.co/QyiwjCapnx pic.twitter.com/jaszYWOp0U
— Reuters (@Reuters) November 10, 2023
“Jadi, saya rasa sesetengah orang akan gembira dengan perkara itu. Saya rasa ini kerana saya menyedari saya tidak tahu bagaimana permulaan tahun akan berjalan untuk saya.”
“Saya tidak tahu tahap permainan dan saya fikir saya perlu menempuhinya. Jadi sekurang-kurangnya, saya akan mempersiapkan diri untuk akhir tahun yang sangat baik,” tambahnya.
Selain itu dalam kategori lelaki, tiga kali juara Grand Slam, Andy Murray juga telah mengesahkan bahawa dia akan bersaing di Brisbane bersama dengan pemain dunia ke-10, Holger Rune.