BRENDAN Gan selaku pemain tengah Harimau Malaya senada dengan ketua jurulatihnya, Kim Pan-Gon yang tidak gemar untuk mengulas kepentingan dalam proses pengambilan seseorang pemain ke kem latihan pusat.

Baginya, setiap pemain yang dipanggil untuk menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 telah berkorban masanya untuk turun ke kem latihan dan datang dengan semangat yang tinggi untuk berdepan dengan Kyrgyztan pada perlawanan pertama, Khamis ini.

“Saya melihat tingkah laku mereka di hotel mahupun di padang latihan setiap hari dan jelas mereka memberikan 100 peratus atau lebih untuk pasukan kebangsaan ini.

“Walaupun dua perlawanan akan datang dijangka sukar, namun kami yakin dapat menewaskan mereka jika turut dengan perancangan yang sudah diberi daripada jurulatih kepada kami.

“Setiap jurulatih pula telah melakukan yang terbaik dan setiap kem latihan sebelum ini juga telah diatur dengan sempurna, kami hanya perlu mengikut percaturan yang telah disediakan oleh pihak jurulatih sahaja.

“Jadi mudah-mudahan segala perkara itu dapat menjadi satu punca kemenangan dan kami berjaya melepasi setiap ancaman pihak lawan yang akan dilemparkan kepada kami,” ujarnya ketika sesi latihan hari ketiga skuad Harimau Malaya di Wisma FAM.

Pemain kelahiran Australia yang melihatkan bahawa dirinya sudah bersedia menentang Kyrgyztan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti telah menegaskan bahawa kejayaan perlu dirangkul bersama-sama dengan pasukan dan tiada kejayaan secara individu dalam perlawanan bola sepak.